Kerajaan akan menghantar menteri-menteri Kabinet menghadiri kursus dalam usaha 'menyekolahkan' mereka.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tujuan kursus itu adalah bagi meningkatkan prestasi menteri.

"Sekolah ada tapi tak formal, kita tak masukkan mereka dalam kelas. Tapi ada usaha untuk meningkatkan kebolehan mereka melalui kursus yang akan diadakan di Intan (Institut Tadbiran Awam Negara). Kita nak beritahu apa yang boleh dilakukan dan apa yang tak boleh.

"Macam mana nak jadi menteri yang terbaik. Itu semua kita akan cuba sampaikan kepada mereka, memang ada dalam perancangan kita," katanya dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian hari ini.

Beliau menjawab soalan penonton yang ingin tahu pandanganya mengenai kenyataan wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin bahawa pemimpin PH yang memegang jawatan perlu ‘disekolahkan’ sebelum rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan sekarang.

A Kadir yang juga penasihat media dan komunikasi perdana menteri berkata, menteri akan mendapat kebaikan jika ‘disekolahkan’ bagi mengubah acuan minda mereka daripada pembangkang kepada kerajaan.

Dalam program Bicara Minda ini, Dr Mahathir turut menjawab kenyataan A Kadir bahawa kerajaan berdepan ancaman menteri Kabinet yang mensabotaj kerajaan sendiri kerana kejahilan, tamak kuasa dan ketiadaan fokus.

“Itu lebih baik daripada penyangak,” katanya.