Kerajaan bakal mewujudkan sebuah makmal untuk menambahbaik peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai persediaan bagi menghadapi kemungkinan bencana akan datang.

Perkara itu diumumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim pada Khamis.

Katanya, setakat ini pihak JKM telah pun mengumpul maklumat berdasarkan maklum balas mangsa-mangsa banjir yang diperolehi ketika kejadian bencana tersebut baru-baru ini.

"Kita telah mengumpulkan maklumat berdasarkan maklum balas daripada mangsa-mangsa banjir seperti keperluan sewaktu banjir, latihan menghadapi banjir serta aset bagi kementerian kami untuk menghantar bantuan.

"Melalui makmal ini juga, kita akan menekankan aspek persediaan sebelum banjir, semasa banjir dan selepas banjir," kata Rohani ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau sebelum itu menjawab soalan yang dikemukakan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) yang menanyakan apakah bukti kuat yang menunjukkan bahawa JKM benar-benar menjaga kebajikan mangsa-mangsa banjir di Kelantan.

Justeru, Rohani berkata JKM sentiasa berusaha memperkukuh serta mempertingkatkan pengurusan bencana agar kebajikan mangsa-mangsa banjir mendapat pembelaan sewajarnya.

Jelas beliau, antara langkah yang dilaksanakan termasuk menyedia serta mengedar bantuan makanan, pakaian dan keperluan asas, dan juga menyelenggara pusar-pusat pemindahan mangsa bencana.

Selain itu, katanya JKM juga telah menjalankan pendaftaran mangsa bencana bagi tujuan pemulihan serta memberi khidmat bimbingan, nasihat dan kaunseling kepada mereka.

“JKM sentiasa berusaha memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan termasuk di negeri Kelantan.

Dalam pada itu, menurut Rohani, JKM juga telah melaksanakan beberapa usaha sebagai langkah persediaan menghadapi musim tengkujuh dengan membekalkan khemah boeh lipat, pembahagi boleh lipat, tilam dan juga makanan alas perut bagi mangsa yang baharu sampai di pusat pemulihan.

Tambah beliau, pihaknya turut melantik tujuh jawatankuasa di pusat pemindahan, menggerakkan seluruh anggotanya peringkat negeri dan daerah selain beliau sendiri turun padang bagi memastikan proses bantuan dan pemindahan lebih teratur.