Sebanyak RM32.377 bilion telah dibelanjakan bagi sumbangan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri bagi tempoh 2014 sehingga 2018, tidak termasuk geran populasi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, secara amnya klasifikasi pemberian kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Ini antaranya pemberian ikut kepala, pemberian penyenggaraan jalan negeri, pemberian berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan hidup serta pemberian di bawah senarai bersama seperti yang diperuntukkan di bawah Jadual Kesembilan (Senarai Bersama) Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan P. Kasthuriraani (DAP-Batu Kawan) mengenai jumlah geran kerajaan kepada semua negeri yang tidak termasuk geran populasi serta kutipan semua jenis cukai bagi negeri-negeri.

Menurut beliau, pentadbiran kutipan hasil cukai bagi kerajaan Persekutuan dilaksanakan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) yang mengutip cukai langsung dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mengutip cukai tidak langsung.

“Jumlah kutipan hasil cukai langsung dan cukai tidak langsung yang dibayar kepada LHDNM atau JKDM di peringkat negeri tidak menggambarkan bahawa cukai yang dihasilkan adalah daripada sumbangan sebenar aktiviti ekonomi di negeri berkenaan.

“Ini kerana negeri di mana lokasi cawangan agensi kutipan cukai yang menerima pembayaran cukai langsung atau tidak langsung adalah berkemungkinan besar berbeza dengan tempat di mana aktiviti ekonomi pembayar cukai dijalankan atau negeri tempat tinggal sebenar pembayar cukai,” katanya.

Lim berkata, pentadbiran kutipan hasil cukai bagi kerajaan Persekutuan dilaksanakan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) yang mengutip cukai langsung dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mengutip cukai tidak langsung.

Beliau berkata segala hasil dan wang termasuk hasil cukai yang dikutip melalui LHDNM dan JKDM yang diterima oleh kerajaan Persekutuan hendaklah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan yang ditadbir oleh Jabatan Akauntan Negara.

Ini berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Bahagian VII Peruntukan Kewangan, Perkara 97 Kumpulan Wang Disatukan di perenggan (1), katanya.