Keputusan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum berkuat kuasa tahun depan tidak bercanggah dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2012, kata Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran.

Beliau berkata keputusan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,100 bermula 1 Jan tahun depan, bukan RM1,050, tidak menyalahi akta itu kerana Jemaah Menteri mempunyai kuasa untuk menilai semula keputusannya.

Menurutnya, kerajaan telah berbincang dengan semua pihak dan pemegang taruh tentang cadangan kadar gaji minimum itu sebelum membuat keputusan tersebut.

"Saya sukacita kerana sebahagian besar masyarakat gembira dengan kadar gaji minimum sebanyak RM1,100. Kami juga perlu memastikan bahawa untuk menjadi ekonomi yang lebih maju dan cekap, pembayaran kadar gaji yang bagus adalah kriteria yang perlu diambil kira.

"Kadar RM1,050 itu diwartakan pada masa dulu, tapi mengikut undang-undang, Kabinet boleh menilainya semula dan membuat keputusan berbeza, manakala kesatuan sekerja juga menyatakan jumlah itu adil dan munasabah," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Deepavali Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso) di sini hari ini.

Kula Segaran berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan bahawa pihaknya tidak gembira dengan cadangan gaji minimum yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2016, Jumaat lalu.

Pada 5 Sept lepas, Putrajaya mengumumkan bahawa kadar gaji minimum seragam RM1,050 akan dilaksanakan di seluruh negara mulai Januari 2019.

-- BERNAMA