Kerajaan komited menyokong syarikat-syarikat teknologi tempatan untuk menjadi syarikat-syarikat multinasional menerusi program 'Global Acceleration and Innovation Network (GAIN)' sebuah program yang ditadbir oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata ia sejajar dengan langkah ke arah menjadikan Malaysia sebagai pemimpin dalam ekonomi digital.

Beliau menggariskan bahawa inisiatif GAIN bawah MDEC adalah satu daripada program yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu firma-firma teknologi Malaysia untuk tumbuh dan berkembang, baik di peringkat serantau mahupun di peringkat global, menerusi empat tiang iaitu akses kepada pasaran, modal risiko, penyegaran teknologi dan kebolehlihatan.

Didorong kisah-kisah kejayaan ahli-ahli GAIN, beliau mengumumkan penambahbaikan selanjutnya pada program itu semasa berucap pada pelancarannya dan sesi 'townhall' di Pejabat Pengasas Macrokiosk di sini pada Isnin.

Dalam hubungan ini, katanya, GAIN akan terus mengembangkan akses pasarannya bagi mewujudkan ekosistem sokongan perniagaan di negara-negara baharu dan lokasi seperti Australia, Taiwan, Jepun dan Asia Barat.

"Selain itu, GAIN komited untuk menganjurkan lebih banyak bengkel-bengkel untuk memberi imbingan dan latihan kepada syarikat-syarikat ahli untuk membolehkan mereka mendapatkan modal pelaburan selain mempersiapkan mereka untuk penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) dengan menghubungkan mereka dengan pelabur global dan mendedahkan mereka kepada media global," kata Gobind.

Sambil menyatakan bahawa beliau secara peribadi komited untuk memastikan kejayaan inisiatif GAIN, Gobind berkata kini terdapat kira-kira 150 syarikat di bawah program itu dan mereka telah dangan pantas menjadi pemimpin-pemimpin pasaran serantau dalam bidang data raya (big data), 'internet of things (IoT)', dron, e-dagang, keselamatan siber dan pembayaran, sekadar memberi beberapa contoh.

"Saya difahamkan bahawa Macrokiosk adalah satu daripada mereka dan ia kini beroperasi pada skala global dengan kehadiran di 14 buah negara," kata beliau.

Menteri itu juga berkata bahawa sejak setahun lepas, beliau telah mengarahkan MDEC untuk meletakkan fokus pada program itu untuk mempercepatkan kemajuan syarikat-syarikat GAIN, dan mereka benar-benar telah berjaya meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang masing-masing dalam tempoh itu.

Menyorot kisah-kisah kejayaan GAIN, menteri itu turut menyentuh mengenai sebuah syarikat dron tempatan, Aerodyne, yang telah menandatangani satu perjanjian penting di Jepun untuk menawarkan perkhidmatan berasaskan dron bagi pengurusan infrastruktur di Jepun dan bagi pihak syaraikat-syarikat Jepun yang berpangkalan di luar negara.

Gobind turut menceritakan kisah kejayaan Soft Space, sebuah syarikat tempatan dan salah sebuah syarikat "fintech" terkemuka di Asia, yang baru-baru ini telah melancarkan teknologi baharu yang menjadikan pembayaran menggunakan kad boleh diakses dengan lebih mudah oleh perniagaan-perniagaan kecil dan kini sedang "mengintai" peluang untuk memperkenalkan perkhidmatannya pada Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Beliau turut bercerita mengenai kejayaan Securemetric, ahli GAIN dan pemimpin serantau yang menawarkan perkhidmatan penyelesaian keselamatan siber, yang berjaya disenaraikan di ACE Market pada November 2018 dan kini memiliki modal pasaran sebanyak RM130 juta.

Gobind turut menyatakan keyakinan bahawa lebih banyak syarikat mampu mendapat manfaat menerusi GAIN dan menyumbang kepada kemampanan ekonomi digital, dengan kepelbagaian dan keterangkuman sebagai terasnya.

"Kita mesti ingat bahawa ketika kita memulakan perjalanan digital ini, kita tidak mengetepikan atau meninggalkan di belakang mereka yang kurang bernasib baik dan masyarakat yang terpinggir," kata beliau.

Beliau menegaskan bahawa adalah menjadi perkara paling utama agar mereka dimasukkan ke dalam perancangan dan komitmen ini untuk membolehkan seluruh rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada 'Kemakmuran Bersama' dan memperoleh keuntungan daripada ekonomi digital.

Gobind berkata beliau gembira bahawa para peserta GAIN telah menerima pakai budaya 'pay it forward' dengan memupuk dan membimbing syarikat-syarikat pemula niaga yang lain.

"Banyak daripada syarikat-syarikat ini turut melabur dalam syarikat-syarikat pemula niaga itu untuk mengemudi mereka ke arah menjadi pemain serantau," katanya, sambil menambah bahawa kerajaan amat menggalakkan perkara itu.

Gobind berkata ini kerana kegiatan membimbing ini boleh dengan secara kolektifnya membantu pertumbuhan dan kematangan ekosistem keusahawanan teknologi di Malaysia sendiri.

Beliau turut menggesa agar semua syarikat mengikuti perkembagan terkini teknologi dan sentiasa melaksanakan inovasi untuk mendahului pesaing.

-- BERNAMA