Kerajaan memberi jaminan keselamatan ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low apabila pulang ke negara ini untuk menjalani proses perundangan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, jaminan keselamatan itu termasuk diri Jho Low, beberapa lagi kawannya yang berkaitan selain keluarga masing-masing.

"Saya akan memberi jaminan ke atas keselamatan dirinya, kalau dia rasa tidak bersalah, balik, hadapi proses undang-undang negara ini, saya beri jaminan atas dirinya, kononnya ada cerita jika dia balik, akan ditangkap, dibunuh, itu mengarut, kita ada undang-undang.

"Jangan mengeluarkan kenyataan dari jauh menggunakan peguam, menafikan itu, menafikan ini. Kenapa tidak balik, jaminan keselamatan ke atas dirinya, keluarganya, hadapi proses undang-undang," katanya semasa sidang media selepas melancarkan Kempen Op Selamat 15/2019 di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, Abdul Hamid melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai petunjuk baharu berhubung lokasi Jho Low.

PDRM juga sebelum ini dilaporkan sudah tahu lokasi persembunyian Jho Low yang dikatakan di China.

Akhbar sebelum ini melaporkan, PDRM sedang mengesan empat individu bagi membantu siasatan kes berhubung skandal 1MDB.

Mereka ialah tiga rakyat Malaysia, iaitu Low Hock Peng, 67 tahun; Goh Gaik Ewe, 67 tahun; dan Tan Kim Loong, 41 tahun; serta seorang wanita warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani atau Natasha Mirpuri, 55 tahun.

Mengikut rekod, Tan Sri Larry Low Hock Peng dan Gaik Ewe adalah ibu bapa kepada Jho Low yang dalam buruan polis.