Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyambut baik saranan Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam memantau kelestarian alam sekitar, dengan memastikan tidak berlaku sebarang pencemaran khususnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac.

Presidennya Meenakshi Raman berkata berdasarkan kajian pakar-pakar kualiti udara di Malaysia sejak minggu pertama PKP Fasa 1 dikuatkuasakan, purata kadar pencemaran udara sedikit menurun berbanding pada hari-hari biasa sebelum PKP.

"SAM berpandangan bahawa perkara sebegini perlu diberi perhatian oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasa.

"Jika ingin mengekalkan kualiti udara bersih, langkah pengurangan pelepasan gas pencemar dan sisa terutamanya daripada industri harus dilakukan secara serius walaupun selepas tempoh PKP tamat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, lanjutan arahan PKP yang bermula dari Fasa 1 hingga ke Fasa 3, bukan sahaja menurunkan kadar jangkitan COVID-19, malah sedikit sebanyak berjaya mendidik masyarakat agar lebih menghargai alam sekitar dan bagaimana ia memainkan peranan penting dalam kehidupan harian kita.

"Penurunan kadar pencemaran tersebut adalah sangat tidak dijangka dan ia menandakan bahawa kualiti udara yang baik boleh dicapai khususnya di kawasan-kawasan yang sebelum ini mempunyai kadar pencemaran yang tinggi dengan membendung pencemaran dari puncanya.

"Kepada pihak industri pula, mereka perlu patuh kepada peraturan dan udang-undang yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar serta PBT dalam membendung pencemaran alam sekitar dan bukan mengaut keuntungan semata-mata," katanya.

Katanya, jika pihak berkuasa tidak menangani isu pencemaran udara dengan lebih proaktif akan dikhuatiri amalan persekitaran yang buruk dan pelanggaran undang-undang kembali berlaku.

-- BERNAMA