Racun makhluk perosak yang diharamkan kerana boleh memudaratkan kesihatan manusia dikesan di enam tapak pensampelan air paip di pekan Brinchang dan permukaan air Sungai Bertam dan Sungai Terla di
Cameron Highlands.

Ini didedahkan dalam kajian dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Rangkaian Tindakan Racun Makhluk Perosak Rantau Asia Pasifik (PANAP) mdan Japan Fund For Global Environment, bermula dari Ogos hingga Disember tahun lalu, kata Pengarah Eksekutif PANAP, Sarojeni Rengam.

"Endosulfan, Endrin Ketone, Aldrin, Endosulfan sulfat dan lain-lain dijumpai dalam kajian. Semua dikenali sebagai POPS (Polutan Organik Persisten) dan dikawal selia secara global melalui Konvensyen Stockholm yang Malaysia ialah antara negara yang memeterai konvensyen.

"Endosulfan, misalnya, telahpun diharamkan di Malaysia, Kesatuan Eropah dan kebanyakan negara lain sejak beberapa tahun.

"Sebagai POP, ia berkumpul dalam rantaian makanan dan dalam badan manusia, bergerak jarak jauh dari tempat ia digunakan dan meresap secara perlahan dalam persekitaran," katanya pada sidang media mengenai Seminar Meningkatkan Kesedaran Kesan Racun Makhluk Perosak Terhadap Kesihatan Manusia dan Alam Sekitar di Strawberry Park Resort di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata POPs, "juga dikenali sebagai Endokrin Disrupting Chemicals (EDC), boleh menyebabkan kecacatan bayi, gangguan pembesaran, kanser, masalah reproduksi dan pelbagai kesan lain terhadap kesihatan termasuk obesiti, kencing manis dan kegagalan fungsi metabolik.

"Sejak 2013, PANAP telah membangkitkan tentang bahaya berkaitan penggunaan racun perosak perosak terutama di sini. Oleh itu, untuk memastikan keselamatan makanan dan tidak membawa kemudaratan kepada kesihatan manusia, kami telah menjalankan ujian air untuk mengesan sisa racun makhluk perosak.

"Hasil kajian menunjukkan bahawa kadar tinggi sisa racun makhluk perosak ditemui di Sungai Terla, terutama dari kawasan-kawasan yang diteroka untuk aktiviti pertanian secara intensif.

"Ini menimbulkan dua senario; yang pertama ialah lokasi racun makhluk perosak digunakan pada masa lalu dan sisanya telah meresap dari tanah dan menyebabkan pencemaran pada air.

"Dan kedua, sebahagian daripada racun makhluk perosak yang diharamkan ini masih digunakan untuk pertanian. Oleh itu, kami bimbang kerana Cameron Highlands ialah pengeluar utama dan pembekal sayur dan buah-buahan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya.

Sarojeni juga berkata pihak berkuasa berkaitan perlu mengambil langkah-langkah untuk menyalurkan maklumat kepada pengguna supaya mereka dapat membuat keputusan.

Di samping itu, beliau berkata, para penyelidik dan pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan lanjut untuk menentukan tahap pencemaran racun makhluk perosak di Cameron Highlands.

"Tindakan segera juga perlu untuk meningkatkan kesedaran dan menghentikan penggunaan racun yang berbahaya, khususnya produk yang diharamkan yang dikaitkan dengan kesan sampingan jangka panjang. Satu pergerakan global sedang dijalankan untuk mengharamkan racun yang sangat berbahaya dan Malaysia perlu menjadi sebahagian daripadanya.

"PANAP mengesyorkan supaya kerajaan menguatkuasakan undang-undang mengharamkan racun makhluk perosak, dan dasar-dasar digubal untuk menghentikan penggunaan racun makhluk perosak yang berbahaya dan menggantikannya dengan pendekatan eko-sistem," katanya.

Sementara itu, Presiden Regional Environmental Awareness Cameron Highlands (REACH) R. Ramakrishnan berkata beliau mendapati masih ada kedai menjual racun perosak di Cameron Highlands.

"Racun perosak itu diimport dan dijual secara berleluasa di sini," katanya.