Kerajaan giat bantu usahawan guna aplikasi digital

Kerajaan giat bantu usahawan guna aplikasi digital
Kerajaan akan mempergiat usahanya untuk membantu usahawan tempatan mengaplikasikan penggunaan digital dalam perniagaan. - Gambar fail Bernama
ALOR SETAR: Kerajaan akan mempergiat usahanya untuk membantu usahawan tempatan mengaplikasikan penggunaan digital dalam perniagaan, bagi meningkatkan pendapatan mereka, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Wira Othman Aziz.

Menurutnya usaha tersebut akan diteruskan ke peringkat akar umbi, dan selaku Ahli Parlimen Jerlun merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Jerlun, akan menganjurkan program kesedaran awal kepada para usahawan, terutama golongan muda.

"Kerajaan sedar ini adalah hala tuju masa depan dan kita tidak mahu rakyat tertinggal.

"Kita juga sedar bahawa rakyat luar bandar dan mereka dalam kategori B40 dan M40, terlibat dalam perniagaan, dan mahu membantu meningkatkan pendapatan jualan mereka melalui program anjuran agensi-agensi kerajaan, termasuk program e-Usahawan dan e-Rezeki oleh Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC).
Othman berkata pendedahan awal perlu diberikan agar usahawan, terutama golongan muda dapat meluaskan jaringan perniagaan mereka menerusi platform media sosial sehingga menjana pendapatan yang besar setiap bulan.

Beliau berkata setakat ini 70,000 usahawan sudah berdaftar untuk membabitkan diri dalam e-Usahawan dan daripada jumlah itu, 50,000 sudah berjaya dilatih oleh MDEC.

"Malah, kira-kira 17,000 usahawan berjaya meningkatkan pendapatan hasil daripada latihan yang diterima," katanya.

Menurutnya program e-Usahawan disasarkan kepada usahawan yang belum lagi memanfaatkan platform digital dalam perniagaan mereka, terutama bagi mereka yang berniaga secara kecil-kecilan.

"Malah, program itu turut memberi dorongan kepada ramai pelajar di peringkat institusi pengajian tinggi untuk menjadi usahawan ketika belajar, menggunakan platform ini," katanya.

BNM, dengan kerjasama MDEC telah menganjurkan bengkel dan ceramah e-Usahawan dan e-Rezeki di karnival kewangan di sini, yang telah memberi manfaat kepada lebih 1,700 peserta.

Daripada jumlah tersebut, hampir 200 peserta mendapat manfaat daripada sesi bengkel yang diadakan.

Maklumat terkini yang kami terima daripada MDEC, 30 peserta bengkel e-Rezeki berjaya menjana pendapatan sampingan, setelah selesai kursus tersebut.

-- BERNAMA