Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kerajaan hanya biaya RM150 sehari di 45 hotel kuarantin

Kerajaan hanya biaya RM150 sehari di 45 hotel kuarantin
Mereka yang memilih untuk menjalani kuarantin di hotel yang tidak diwartakan oleh kerajaan, harus menanggung kos sendiri.
PUTRAJAYA : Kerajaan hanya membiayai kos bilik dan makan sebanyak RM150 sehari kepada mereka yang dikuarantin di 45 hotel diwartakan sebagai pusat kuarantin.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang memilih untuk kuaratin di hotel yang tidak diwartakan tidak akan ditanggung oleh kerajaan.
"Kerajaan ingin menjelaskan bahawa sebanyak 45 buah hotel bertaraf tiga bintang ke atas telah diwartakan sebagai pusat kuarantin. Kerajaan membiayai kos untuk bilik dan makan terhad kepada RM150 sehari, kos lain seperti dobi dan sebagainya ditanggung oleh mereka yang dikuarantin," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Dalam masa sama, beliau menafikan kerajaan bersikap berat sebelah kepada mereka yang dikuarantin di hotel yang menjadi pilihan sendiri.
Menurut beliau, terdapat sebilangan daripada rakyat Malaysia yang memilih untuk menginap di hotel pilihan mereka yang bukan di bawah tanggungan kerajaan.

"Kita telah kenal pasti 45 hotel yang disenarai sebagai pusat kuarantin. Namun ada permintaan daripada mereka yang mahu mohon mereka boleh pilih hotel mereka sendiri.

"Jadi seperti yang saya katakan, hotel yang ditanggung kerajaan ialah hotel yang kosnya RM150. Jika mereka nak pilih hotel mereka sendiri, mereka perlu membayar sendiri ia tidak ditanggung kerajaan," ujarnya.

Pada peringkat awal jelasnya, kerajaan mewujudkan pilihan hotel kepada mereka yang dikuarantin dengan tidak ditanggung kerajaan kerana mendapat permohonan daripada pihak kedutaan luar.

"Tiada pengecualian kepada mereka yang pulang dari luar negara untuk dikuarantin termasuk diplomat asing. Jadi mereka minta mereka tinggal di hotel yang akan dibayar oleh kedutaan masing-masing. Ada yang mereka yang dari luar negara yang sanggup membayar kos mereka sendiri," jelas beliau lagi.

Walau bagaimanapun, hotel yang dipilih adalah hotel ditetapkan kerajaan walaupun ia dibiayai sendiri.
 

"Mereka tidak boleh nak duduk hotel lima ke enam bintang yang mereka pilih sendiri. Walaupun mereka di hotel, tetapi SOPnya seperti juga pusat kuarantin di tempat lain.

"Mereka tidak boleh keluar bilik, mereka tidak boleh menerima pengunjung. Kalau mereka memilih hotel secara suka dan tidak yang ditentukan, tentu sahaja kita akan menghadapi kesukaran," kata Ismail Sabri.


Tag: ismail sabri yaakob, Media, hotel, kerajaan, keselamatan, menteri, COVID19



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.