Tutup

Kerajaan Johor rancang persidangan bersama pemimpin mahasiswa

Kerajaan Johor rancang persidangan bersama pemimpin mahasiswa
Sementara itu, Aminolhuda turut menyampaikan bantuan dana pengurusan berjumlah RM44,000 kepada 22 buah Persatuan Mahasiswa Anak Johor pada bengkel berkenaan. - Facebook: Aminolhuda Bin Hassan
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor merancang mengadakan Persidangan Pemimpin Mahasiswa Johor bersama Exco Pendidikan negeri, akhir tahun ini, sebagai usaha mengurangkan masalah birokrasi antara mahasiswa dan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan menerusi satu kenyataan hari ini, berkata persidangan sedemikian kemudian akan diadakan secara berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun sekali gus menjadi medium rasmi interaksi dua hala di antara kerajaan negeri dan persatuan mahasiswa.
"Objektif persidangan ini adalah untuk membincangkan hala tuju perjalanan persatuan mahasiswa termasuk hal-hal kebajikan mahasiswa di kampus dan juga memperkasakan kemahiran mahasiswa Johor bagi memenuhi pasaran pekerjaan.

"Oleh itu, saya mengharapkan agar mahasiswa Johor dapat memanfaatkan persidangan ini untuk mewujudkan hubungan terus dengan Exco Pendidikan Johor dan pentingnya untuk menyedarkan setiap seorang daripada kita bahawa kita mempunyai tanggungjawab kepada Johor dan Malaysia," katanya.
Menurut kenyataan berkenaan, Aminolhuda yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani mengumumkan mengenai rancangan persidangan terbabit ketika majlis penutup Bengkel Perancangan Strategik Persatuan Mahasiswa Anak Johor di IPT (Insitiusi Pengajian Tinggi) yang dianjurkan di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, menurut kenyataan sama, Aminolhuda turut menyampaikan bantuan dana pengurusan berjumlah RM44,000 kepada 22 buah Persatuan Mahasiswa Anak Johor pada bengkel berkenaan.

Pemberian dana sebanyak RM2,000 kepada setiap persatuan itu bertujuan membantu pemimpin mahasiswa Johor untuk mengurus dan memajukan persatuan mahasiswa anak Johor di kampus masing-masing.

-- BERNAMA


Tag: Exco Pendidikan negeri, Persidangan Pemimpin Mahasiswa Johor, Aminolhuda Hassan, Anggota Dewan Undangan Negeri ADUN, kerajaan, pendidikan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.