Tutup

Kerajaan kaji pinda Perlembagaan beri keadilan isu kewarganegaraan

Kerajaan kaji pinda Perlembagaan beri keadilan isu kewarganegaraan
Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan, kata Hanna Yeoh, akan dikaji bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapatkan status kewarganegaraan bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara secara automatik. - Gambar fail
KERAJAAN sedang mengkaji untuk meminda Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapatkan status kewarganegaraan bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara secara automatik.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, ketika ini hanya bapa warganegera Malaysia yang dibenarkan memperoleh kewarganegaraan anak yang dilahir di luar negara, secara automatik sementara ibu perlu membuat permohonan bagi tujuan itu.
"Kita hidup dalam tahun 2019, lelaki wanita Malaysia harus mendapat layanan yang sama. Sebab itu kita telah menulis kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar untuk minta pindaan ini dibuat kerana banyak keluarga terjejas dengan undang-undang ini.

"Kita telah bermesyuarat sejak April tahun ini di mana tiga kementerian ini berbincang dan setakat ini maklum balas daripada kementerian terlibat adalah positif," katanya selepas menghadiri Kempen Kesamaan Kewarganegaraan Malaysia hari ini.
Kempen yang dianjurkan oleh Kumpulan Sokongan Pasangan Asing itu bertujuan memberi kesedaran mengenai kesan diskriminasi jantina terhadap wanita di negara ini.

Menurut Yeoh, isu membabitkan kewarganegaraan ini memberi tekanan, trauma dan menimbulkan masalah kepada keluaga dalam menguruskan anak mereka termasuk hal-hal kesihatan mahupun pendidikan.

Justeru beliau berharap usaha meminda Perkara 14 itu mendapat sokongan pelbagai pihak bagi memberi peluang yang lebih adil kepada keluarga dan kanak-kanak di negara ini.

"Kita sedang dapatkan statistik daripada Jabatan Pendaftaran Negara berapa permohonan di bawah kategori ini dan menerusi kempen ini saya percaya kepantasan (untuk meminda) akan bertambah dan kami berharap lebih ramai penggubal undang-undang akan dapat bercakap mengenai perkara ini.

"Malah perkara ini ada dalam Manifesto Pakatan Harapan untuk melihat semula undang-undang yang mendiskriminasi wanita," tambah beliau. - BERNAMA


Tag: Kerajaan kaji pinda Perlembagaan, beri keadilan isu kewarganegaraan, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Hanna Yeoh



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.