Kerajaan negeri dalam proses mendapatkan pinjaman mudah US$50 juta (kira-kira RM200 juta) bagi melaksanakan projek penggantian paip yang selama ini menyebabkan kehilangan air yang dikategorikan sebagai Air Tidak Berhasil (NRW).

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata pinjaman daripada bank antarabangsa itu perlu dibuat berikutan kadar NRW yang mencecah 49 peratus.

Katanya, projek penggantian paip bagi mengatasi masalah NRW dirancang bermula tahun ini kerana masalah itu menyebabkan kerugian sumber yang besar kepada kerajaan.

"Suka saya laporkan bahawa, dengan kerjasama Kementerian Kewangan, kita berunding dengan pihak bank daripada luar negara, untuk mendapat pinjaman pada kadar bayaran balik mudah.

"Ini supaya kita boleh memulakan projek NRW," katanya pada sidang media selepas penangguhan mesyuarat keempat penggal pertama Dewan Undangan Negeri Kedah di sini hari ini.

Sehubungan itu, kata Mukhriz, Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan menjalankan kajian terperinci berhubung NRW bagi mengenal pasti kawasan terlibat.

Pada Isnin, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Zamri Yusuf mendedahkan, kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan masalah pembaziran air NRW akibat masalah paip bocor.

Beliau dipetik berkata, ketika ini pengguna Kedah hanya menerima kira-kira 800 juta liter air sehari berbanding 1,500 juta liter air yang disalurkan setiap hari.

Sementara itu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri masih menunggu pengesahan berhubung penghapusan hutang infrastruktur air Kedah berjumlah RM1.699 bilion yang diumumkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar di Dewan Rakyat pada 3 April lalu.

"Kerajaan negeri kini dalam proses menulis surat kepada kementerian berkenaan untuk mendapatkan pengesahan mengenai hapus kira hutang tersebut," tambahnya sambil berkata keputusan itu akan meringankan beban kewangan kerajaan negeri.