Kerajaan telah mengenal pasti masalah serta hadir dengan beberapa syor untuk membantu golongan pesawah dari lingkaran kemiskinan dengan kaedah pertanian moden.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, masalah yang membelenggu mereka dapat diatasi dengan cara memperbaharui cara penanaman serta memperkenalkan tanaman kontan yang dapat mengurangkan kebergantungan penuh kepada hasil padi.

“Kita telah kenal pasti beberapa perkara yang menyebabkan mereka miskin. Pertamanya, mereka mempunyai holding (tanah) yang terlalu kecil untuk memberi pulangan yang baik. Kedua, mereka tidak cekap. Di atas tanah satu ekar boleh keluar (hasil) lapan tan, tetapi mereka cuma keluar empat tan," ujar beliau.

Setiap tahun, kerajaan membelanjakan lebih RM1.8 bilion sebagai subsidi kepada kira-kira 200,000 pesawah dan kata Dr Mahathir, ini satu kos yang tinggi yang perlu dibalas dengan pulangan setimpal untuk menjana pendapatan negara.

Justeru, selain memperbaiki teknik penanaman dan pembajaan, pesawah turut digesa supaya memperuntukkan sebahagian daripada tanah mereka untuk menanam tanaman alternatif seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Kita mahu kaji bagaimana pesawah-pesawah efisyen dapat mengeluarkan hasil lapan tan per ekar, jadi kita mahu terapkan sistem mereka dan juga sistem lain yang dapat meningkatkan produktiviti.

“Mereka boleh ada tanaman yang boleh beri pulangan yang lebih baik, yang boleh dituai tiga ke empat kali setahun.

“Padi di Kedah boleh tanam dua kali, di tempat lain hanya sekali. Jadi kita perlu melihat perkara ini secara menyeluruh,” katanya.

Jelas Perdana Menteri lagi, inisiatif mempelbagaikan tanaman untuk meningkatkan pendapatan pesawah juga berhubung kait dengan keselamatan bekalan makanan negara.

Ketika ini negara mengimport AS$60 bilion makanan setahun, dan kerajaan mensasarkan agar jumlah itu dapat dikurangkan separuh kepada AS$30 bilion dengan mempergiat tanaman alternatif dan tidak bergantung harap kepada getah dan sawit semata-mata.