Kerajaan komited untuk terus mengurangkan tanggungan hutang dan liabiliti negara secara keseluruhan dan bukan hanya memberi tumpuan untuk menurunkan hutang langsung kerajaan sahaja.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataannya pada Ahad berkata, Jawatankuasa Pengurusan Hutang (JPH) yang baharu ditubuhkan akan meneruskan usaha konsolidasi fiskal bagi mengawal peningkatan hutang langsung kerajaan tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

"Usaha ini yang akan dijalankan seiring dengan tadbir urus yang lebih telus dan lebih baik mampu mengurangkan lagi hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan pada tahun 2019 dan seterusnya," katanya lagi.

Lim berkata antara kejayaan yang dicapai ialah pengawalan dan pengurangan hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan kepada 75.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018 daripada 79.3 peratus pada 2017.

Ini merupakan hasil rasionalisasi ke atas kos projek-projek mega serta pembayaran Kerjasama Awam Swasta atau Public-Private Partnership (PPP), kata beliau.

"Walaupun terdapat peningkatan hutang langsung kerajaan, secara keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan telah turun 3.9 mata peratusan," katanya lagi.

Lim berkata, komitmen kewangan lain yang dimulakan oleh pentadbiran terdahulu termasuklah pembayaran pajakan PPP dan lain-lain liabiliti seperti 1Malaysia Development Berhad.

Komponen berkenaan telah turun 6.8 mata peratusan kepada 15 peratus berbanding KDNK pada 2018 daripada 21.8 peratus pada 2017, katanya.

"Penurunan 6.8 mata inilah yang membenarkan kerajaan untuk mengurangkan tanggungan hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan dalam tempoh setahun," kata beliau.

Kenyataan Kementerian Kewangan semalam menyebut JPH dalam mesyuarat pertamanya pada Jumaat yang dipengerusikan oleh Lim meneliti kedudukan hutang dan liabiliti kerajaan berjumlah RM1.1 trilion atau 75.4 peratus daripada KDNK setakat akhir 2018.

-- BERNAMA