Kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk membincangkan mengenai pembentukan undang-undang baharu berhubung berita palsu yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Mac depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu perlu diselesaikan dengan segera kerana ia berkait rapat dengan keselamatan negara, tidak hanya berpaksikan politik semata-mata.

"Ia juga untuk mengelak pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas isu ini.

"Justeru, pihak pembangkang diminta untuk memberikan kerjasama dan tidak membuat tuduhan melulu atas pelaksanaan akta tersebut," katanya selepas menandatangani perjanjian tambahan antara kerajaan dan Pertubuhan Perundingan Undang-Undang-Asia Afrika (AALCO), di sini pada Rabu.

Perjanjian tersebut bertujuan untuk merasmikan penamaan semula Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA) sebagai Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Malaysia) bersempena ulang tahunnya yang ke-40, hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Azalina bersama Setiausaha Agung AALCO Prof Kennedy Gastorn.

Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Malaysia) bertujuan untuk mengukuhkan lagi kedudukan serantau dan kehadirannya secara global, mengubah namanya sebagai sebahagian daripada penjenamaan semula yang lebih besar selepas meluluskan Akta Timbang Tara (Pindaan) 2018 yang telah diwartakan pada 10 Jan tahun ini.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Peguam Negara dan Pengerusi Lembaga Penasihat KLRCA, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan bekas setiausaha Agung AALCO Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad. -- Bernama