Kerajaan melalui agensi agama komited dalam usaha menerapkan nilai-nilai al-Quran dalam pentadbiran negara.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata usaha melahirkan sebuah negara rahmah yang didiami ummah sejahtera dan bertamadun mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menyatupadukan rakyat Malaysia.

Beliau berkata demikian pada penutupan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran 1441H/2020M peringkat Kebangsaan yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di sini, Jumaat malam.

"Anggota masyarakat bertamadun akan menghayati semangat tolong-menolong dan bantu-membantu untuk mencapai kebaikan bersama," katanya.

Mujahid berkata masyarakat yang bertamadun juga akan saling menyantuni antara satu sama lain.

Menurutnya tindakan kekerasan tidak meninggalkan kesan positif dalam usaha melebarkan risalah dakwah.

Justeru, beliau berkata jurang perbezaan yang wujud dari kepelbagaian bangsa dan latar belakang budaya perlu ditangani secara berhikmah.

-- BERNAMA