Diskaun bil elektrik 15 peratus, penundaan ansuran bulanan cukai pendapatan, pengecualian cukai perkhidmatan bagi hotel, merupakan antara strategi kerajaan mengurangkan kos perniagaan yang terjejas akibat COVID-19, kata Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di sini hari ini, beliau berkata, langkah itu bagi membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan bagi syarikat yang terjejas oleh COVID-19.

Beliau berkata, langkah yang telah digariskan itu, akan bermula daripada April, sehingga September 2020.

“Membenarkan penundaan ansuran bulanan cukai pendapatan bagi perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan. Di samping itu, syarikat yang terjejas turut dibenarkan menyemak semula anggaran keuntungan tahun 2020 bagi menentukan ansuran bulanan cukai pendapatan tanpa dikenakan penalti.

“Menyediakan diskaun sementara selama enam (6) bulan sebanyak 15% daripada bil elektrik secara bulanan bagi hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pusat membeli belah, pusat konvensyen dan pameran,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau mengumumkan nilai pakej rangsangan ekonomi sejumlah RM20 bilion bagi meminimumkan impak COVID-19 ke atas ekonomi negara.


Selain itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan juga akan menyediakan tabungan pinjaman kewangan kepada syarikat yang terkesan.

“Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan Kemudahan Jaminan Bantuan Istimewa berjumlah RM2 bilion, terutamanya pembiayaan modal kerja untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada kadar 3.75%.

“Bank Simpanan Nasional (BSN) akan memperuntukkan RM200 juta kemudahan mikro kredit pada kadar 4%. Di samping itu, proses kelulusan dana sedia ada di Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) di bawah Tabung Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1.5 bilion akan dipercepatkan,” katanya lagi.

Dr Mahathir berkata, kesemua bank dikehendaki mengurangkan beban kewangan dalam bentuk penangguhan bayaran atau penjadualan semula pinjaman, dan ia akan dipantau oleh BNM.