Kerajaan hari ini melancarkan Sukuk Prihatin yang membuka peluang langganan kepada orang awam dan pihak korporat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pendekatan ‘bottom-up’ itu merupakan satu bentuk penyatuan sumber yang mencerminkan solidariti rakyat Malaysia dalam membina semula ekonomi negara.

Ujarnya, langganan dari terbitan Sukuk Prihatin itu akan disalurkan ke dalam Kumpulan Wang COVID-19.

“Program-program yang akan dibiayai oleh Sukuk Prihatin adalah bagi manfaat pihak yang terkesan oleh COVID-19.

“Ia termasuk menambah baik jaringan di sekolah-sekolah di kawasan pedalaman agar anak-anak kita yang terkesan boleh meneruskan pembelajaran secara digital.


“Memberi sokongan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang terjejas akibat COVID-19, terutamanya usahawan wanita; dan kerajaan juga akan memperuntukkan sebahagian dari dana Sukuk Prihatin untuk perbelanjaan kesihatan, termasuk penyelidikan penyakit berjangkit.

“Ini akan memanfaatkan usaha Kementerian Kesihatan dan institusi penyelidikan awam serta institut pengajian tinggi dalam kajian terhadap sesuatu penyakit atau wabak berjangkit,” katanya pada ucapan perasmian sukuk tersebut di Kementerian Kewangan di sini hari ini.


Menyaksikan pelancaran itu adalah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut berkenan menjadi individu pertama melabur dalam sukuk tersebut.

Tambah Muhyiddin, kerajaan turut berjanji akan memastikan seboleh mungkin tidak ada rakyat negara ini yang ketinggalan dalam usaha pemulihan ekonomi susulan wabak COVID-19 ini.

“Ini juga adalah bukti kesinambungan hasrat Kerajaan dalam melaksanakan Wawasan Kemakmuran Bersama atau Shared Prosperity Vision yang menjadi tonggak aspirasi Kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.


Sementara itu, dalam ucapan aluannya, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sukuk tersebut merupakan penerbitan sukuk pertama oleh kerajaan yang boleh dilanggani atau dibeli 100 peratus melalui perkhidmatan perbankan digital iaitu menggunakan kemudahan JomPAY dan DuitNow.

“Jumlah minima bagi pelaburan pertama ialah RM500, dan kadar keuntungan adalah dua peratus setahun, selama dua tahun. Ini merupakan satu kadar yang kompetitif memandangkan ia ditetapkan selama dua tahun.

“Keuntungan akan dikreditkan ke dalam akaun pelabur setiap suku tahun," katanya.

Menurut Tengku Zafrul, dalam masa dua tahun, pelabur boleh memilih untuk menderma jumlah langganan kepada Kumpulan Wang COVID-19 dan jumlah ini akan diberi potongan cukai.

“InsyaAllah, dengan penerbitan sukuk ini dan juga sokongan rakyat yang berjiwa patriotik dan bersemangat nasionalisme, Malaysia akan segera pulih dan kemakmuran akan terus dikecapi bersama,” tambahnya.