Tutup

Kerajaan lulus RM126 juta pasang CCTV di balai polis seluruh negara

Kerajaan lulus RM126 juta pasang CCTV di balai polis seluruh negara
Kerajaan memperuntukkan RM126 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di balai polis di seluruh negara. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM126 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di balai polis di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong berkata peruntukan tersebut melibatkan pemasangan CCTV di 756 lokap.

Katanya, pemasangan alat keselamatan itu dijangka siap pada penghujung tahun ini.

“Tindakan juga diambil untuk memastikan pemasangan CCTV di bangunan-bangunan berkaitan dan surat penganugerahan kontrak akan diberikan kepada pihak kontraktor pada hujung bulan ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Vui Keong membuat lawatan di Berek Polis Blok G18, Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.
Mengulas lanjut, katanya, pemasangan CCTV tersebut bertujuan memantau situasi di dalam lokap bagi mengelak kemalangan selain menjadi bukti kepada kes kematian di dalam lokap.

“Kita perlu mengambil kira keselamatan anggota polis yang bertugas,” katanya.

Dalam pada itu, Vui Keong memaklumkan sebanyak RM100 juta turut diperuntukkan untuk menambah baik 210 unit lif di kuarters dan bangunan balai polis.