Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memberikan tumpuan berhubung satu laporan kajian mengenai rasa tidak puas hati orang Melayu terhadap pimpinan PH.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan akan mengambil maklum atas keluhan itu serta mencari pendekatan untuk mengatasinya.

“Saya pun ada baca tentang survey ini dan saya mengambil maklum. Kita mesti mendengar rintihan dan pandangan rakyat dan apa yang boleh kita buat untuk mengatasinya.

“Saya ambil perhatian sebab majoriti rakyat di Malaysia adalah Melayu. Sebagai kerajaan baharu selepas 60 tahun, kita masih belum mendapat peluang situasi sebenar semasa menjadi pembangkang.

“Tetapi kini sebagai kerajaan baharu, kita perlu memberikan tumpuan dan keseimbangan. Apa yang negara perlu, apa yang perlu dibuat, soal ekonomi dan stabiliti,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas mengedarkan buah limau Mandarin di Pasar Pandan Perdana dan Pasar Taman Muda sempena Tahun Baru Cina 2019 Parlimen Pandan.

Ia bagi mengulas kajian yang dijalankan di seluruh negara pada akhir tahun lalu hampir 60 peratus Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH.

Kaji selidik itu dijalankan oleh Ilham Centre bersama Penang Institute ke atas 2,614 responden bagi tempoh 24 Oktober sehingga 24 Disember 2018.

Dalam perkembangan lain, Wan Azizah berkata, kerajaan PH akan mengurangkan lantikan politik bagi jawatan tertentu.

“Lantikan ini memang kita kurangkan. Ia adalah salah satu daripada peringatan yang diberikan kepada kami semua.

“Tetapi yang sesetengah lantikan itu mungkin atas dasar kelayakan, sebab tidak memegang jawatan tinggi dalam parti politik,” katanya.