Perkhidmatan e-hailing akan mula dikawal selia Kerajaan bermula esok (12 Julai) melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017, dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah itu adalah bagi memberi kesaksamaan kepada industri teksi supaya persaingan akan menjadi lebih sihat, dan seterusnya memberi lebih manfaat kepada pengguna.

“Setelah mendengar pelbagai keluhan pemandu teksi dan pemandu e-hailing, SPAD telah merangka perundangan dan syarat-syarat yang akan dikenakan kepada Perniagaan Pengantara dan pemandu e-hailing.


“Dengan akta ini, syarikat-syarikat e-hailing mesti berdaftar dengan SPAD dan perlu membayar fi yang ditetapkan,” katanya lagi.

Loke berkata, antara syarat yang dikenakan terhadap pemandu e-hailing ialah,pemandu atau syarikat yang menguruskan perkhidmatan e-hailing perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Kenderaan yang digunakan perlu mempunyai sekurang-kurangnya taraf tiga bintang oleh ASEAN NCAP, dan perlu jalani pemeriksaan PUSPAKOM setahun sekali sekiranya usia kenderaan itu melebihi tiga tahun.

Selain itu, Loke berkata, pemandu e-hailing perlu memohon lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV), dan ditambah baik dengan saringan rekod jenayah, serta memastikan perlindungan insurans untuk pemandu, penumpang, dan pihak ketiga.