Kerajaan negeri Terengganu akan mengambil tindakan terhadap pemilik tanah perindustrian di kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman yang tidak mengusahakan tanah tersebut.

Antara tindakan yang bakal dikenakan termasuk merampas kembali tanah tersebut untuk diberikan kepada pengusaha industri yang benar-benar layak .

Demikian ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar pada satu majlis di sini malam tadi.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya telah mengenal pasti hampir 45 peratus pemilik tanah yang tidak melakukan sebarang aktiviti perindustrian di tanah milik mereka.

“Melalui Kanun Tanah Negara, kerajaan berhak mengambil balik, atau merampas (tanah), kalau tidak diusahakan dalam tempoh yang telah diberikan.

“Jadi, sekarang kita sedang meneliti untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang gagal untuk mematuhi syarat ini, supaya boleh diberi peluang kepada orang lain,” katanya.

Tengku Hassan berkata, tindakan penguatkuasaan tersebut akan dilaksanakan pada awal tahun hadapan.

Pihaknya juga mengalu-alukan pengusaha di negeri ini untuk mengisi kekosongan tanah perindustrian bagi tujuan industri dengan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan Pejabat Daerah dan Tanah.

Justeru, beliau mengingatkan kepada pemilik tanah agar mengusahakan industri di tanah milik mereka atau berdepan tindakan dilucutkan hak terhadap pemilikan tanah.

Kawasan Perindustrian Teluk Kalong telah diwujudkan bagi menyokong industri petroleum yang terdapat di Terenganu.

Kebanyakan industri yang didirikan di kawasan tersebut adalah berkaitan minyak dan gas.