Kerajaan negeri menafikan terbabit langsung dalam projek pelancongan '1Malaysia Spiritual Tourism' di Bukit Gambang, Pahang.

Menteri besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, kawasan seluas 250 ekar yang diluluskan kepada syarikat pemaju Waras Mekar Sdn Bhd (WMSB) sebelum ini adalah untuk pembangunan bercampur dan bukan untuk tujuan lain.

“Ekoran daripada itu Waras Mekar sudah membuat laporan polis dan saya ingin memberitahu bahawa projek ini tidak pernah dibincangkan dan tidak pernah dibuat di Pahang.

"Apa yang telah ditimbulkan selama ini, hanyalah merupakan satu langkah penipuan dan saya juga difahamkan terdapat usaha mengutip duit bagi tujuan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan pada Rabu.

Adnan berkata, projek pelancongan yang diumumkan Enchant Acres tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri, dan tidak akan dilaksanakan di negeri ini.

Projek '1Malaysia Spritual Tourism' mula mendapat perhatian selepas menawarkan pulangan lumayan kepada pelabur yang menempah lot-lot disediakan pemaju mengikut kadar ditetapkan membabitkan semua agama kecuali agama Islam seperti Kuan Yin, Buddha, Hindu, Sikh, Taoisme dan Kristian.

Projek yang dikatakan bernilai RM10 bilion itu juga turut menyediakan resort, pusat peranginan, restoran dan sekolah antarabangsa.

Bagaimanapun, sebahagian pelabur yang curiga dengan kadar keuntungan lumayan ditawarkan dalam tempoh singkat oleh pemaju bertindak membuat laporan polis dan siasatan mengenainya sedang dijalankan.