Tindakan Kerajaan Persekutuan yang membuat prosiding mahkamah mewakili masyarakat Orang Asli terhadap Kerajaan Negeri Kelantan berhubung tanah adat Pos Simpor, Gua Musang, Kelantan sebagai langkah terakhir membantu kaum itu.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sejak dahulu lagi, Kerajaan Negeri sepatutnya melayan tuntutan tanah adat yang dibuat oleh Orang Asli.

Jelasnya lagi, dengan tindakan itu barangkali ada ruang bagi kaum Orang Asli Temiar itu mendapat pengiktirafan hak tanah kerana mereka merupakan 'orang asal' dan telah lama menghuni kawasan berkenaan.

Tengku Razaleigh turut bersimpati dengan Orang Asli yang bertindak melakukan beberapa siri sekatan sebelum ini bagi menjaga kawasan yang disifatkan sebagai tanah adat mereka.

"Nampaknya ini satu cadangan yang kita boleh ketengahkan. Yang saya rasa pihak saya di sini pun boleh bersetuju supaya kerajaan negeri di sini boleh memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada Orang Asli yang membuat tuntutan.

"Orang Asli dah lama dalam keadaan tertekan. Tanah dia. Seolah-olah kita ni menceroboh dan kita nak ambil alih kegunaan tanah dia. Tentulah dia rasa bukan saja bimbang, takut," ujar Tengku Razaleigh.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama wakil peneroka Kesedar di kediamannya di Bukit Cekati, Gua Musang.

Buat pertama kalinya selepas merdeka, Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan prosiding mahkamah mewakili masyarakat Orang Asli terhadap Kerajaan Negeri Kelantan berhubung tanah adat Pos Simpor, Gua Musang.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, hal itu susulan kerajaan negeri dan beberapa agensinya baru-baru ini mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta.