Kerajaan negeri Perak memandang serius isu pasangan warga emas yang terperangkap di dalam lif di sebuah pasar raya terkemuka selebih 24 jam baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau telahpun mengarahkan exco terlibat untuk menyiasat kes berkenaan bagi memastikan insiden itu tidak berulang kepada sesiapa selepas ini.

“Saya memandang serius perkara ini, amat menyedihkan bagaimana perkara begini boleh terjadi di dalam sebuah pasar raya yang besar dan melibatkan warga emas.

“Saya tak faham kenapa dalam tempoh 24 jam itu pihak pasar raya berkenaan langsung tidak melakukan pemeriksaan terhadap lif yang rosak tersebut.

“Saya dah minta exco bertanggungjawab untuk ambil segala langkah yang perlu bagi memastikan semua bangunan di negeri ini yang mempunyai lif mempunyai prosedur-prosedur tertentu kerana saya tak mahu ini terjadi sekali lagi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Beliau juga menggesa kesemua pemilik bangunan di negeri ini untuk memantau lif masing-masing secara harian dan tidak bersikap sambil lewa.

Ahad lalu, Md Dahalan Baki, 74, dan isterinya Ahadiyah Zakaria, 70, telah terperangkap dalam lif sebuah pasar raya di Meru, Ipoh selama lebih 24 jam ketika hendak membeli-belah.

Mangsa terperangkap di dalam lif rosak itu dari jam 11.30 pagi Jumaat sehingga jam 1 tengah hari Sabtu sebelum diselamatkan oleh pihak bomba.

Difahamkan kejadian itu disedari oleh anak perempuan mangsa selepas pasangan berkenaan tidak pulang ke rumah sejak keluar untuk membeli belah di pasar raya berkenaan pada Jumaat.

Kedua-dua mangsa dijumpai dalam keadaan lemah di dalam lif itu selepas anaknya pergi ke pasar raya berkenaan untuk mencari mereka bersama-sama pengawal pasar raya pada Sabtu.

Difahamkan keluarga mangsa telah melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan pasar raya tersebut.