Tutup

Kerajaan Negeri Sabah batalkan pelaksanaan Pas Sementara Sabah

Kerajaan Negeri Sabah batalkan pelaksanaan Pas Sementara Sabah
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan pembatalan itu akan dimaklumkan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah membuat keputusan membatalkan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan terbabit dibuat selepas Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan sebentar tadi.

Ia dibuat selepas Kerajaan Negeri mengambil kira faktor suara rakyat Sabah yang menolak PSS termasuklah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, baru-baru ini.

"Meneliti apa yang telah berlaku, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini 22 Januari, telah memutuskan supaya PSS dibatalkan setelah melihat dan mendengar suara rakyat yang ada.
"Bukan hanya PRK Kimanis (parlimen) bahkan juga secara keseluruhannya suara-suara diutarakan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu, pada Rabu.

Mengulas lanjut, PSS yang dijadualkan akan dilaksanakan pada bulan Jun hadapan itu, Mohd Shafie berkata, pihaknya secara rasmi akan memaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung perihal tersebut dalam tempoh terdekat.
"Kita mendengar suara rakyat yang ada, maka dengan itu Kabinet Negeri Sabah telah memutuskan untuk memaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri selaku kementerian yang bertanggungjawab supaya membatalkan rancangan meneruskan pelaksanaan PSS pada bulan Jun nanti," katanya.

Tambahnya, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Sabtu lalu sekaligus telah memberikan isyarat jelas bahawa rakyat bersuara dan menjadikan isu PSS sebagai sebab menolak parti pemerintah.

Ketika ditanya sama ada mekanisme lain untuk mengantikan PSS, Mohd Shafie berkata perkara itu tertakluk kepada keputusan KDN dalam menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu.

"Bila tiba masanya terpulang kepada Kementerian Dalam Negeri, kerajaan negeri akan memainkan peranan seperti biasa untuk menguruskan PATI seperti biasa dan mana yang kita termampu.

"Supaya keadaan yang ada tidak menjejaskan bukan hanya keselamatan dan keadaan persekitaran yang ada di Sabah," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan PRK Kimanis yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada Sabtu lalu, beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) mengambil keputusan untuk bertanggungjawab sepenuhnya dan meminta tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.

PRK Kimanis menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen tersebut selepas mendapat 2,029 majoriti dalam PRK Kimanis.

Calonnya, Datuk Mohamad Alamin, 47, mendapat 12,706 manakala calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang, 66, memperoleh 10,677 undi.


Tag: Shafie Apdal, Mohd Shafie Apdal, KDN, Ketua Menteri, Kota Kinabalu, pilihan raya, pilihan raya kecil, Kementerian Dalam Negeri, Pas Sementara Sabah, PSS, Sabah



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.