Kerajaan Negeri Sembilan sedang melakukan kajian bagi menurunkan harga siling rumah untuk pembeli asing bagi hartanah kediaman yang tidak terjual.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri Teo Kok Seong berkata ketika ini berdasarkan dasar perumahan negeri, harga siling rumah bagi pembeli asing ditetapkan pada kadar RM2 juta.

"Kajian semula ini dibuat bagi memastikan harga siling rumah bagi pemilikan warga asing ini lebih kompetitif, jika dilihat harga siling di negeri jiran iaitu Melaka RM500,000 bagi kediaman strata manakala kediaman bertanah RM1 juta... di Selangor kediaman strata bernilai RM1 juta.

"Kalau harga kita lagi tinggi, secara tidak langsung memang akan jejaskan daya saing kita termasuk untuk tarik pelabur asing bahkan selepas kita naikkan harga siling rumah pada Januari lalu dari RM1 juta kepada RM2 juta, banyak rungutan kita terima di kalangan pemaju dan pelabur asing mengenai perkara itu," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Tambahnya kajian itu juga dibuat susulan keputusan kerajaan pusat yang mengumumkan untuk mengurangkan bekalan kondominium dan pangsapuri tidak terjual bernilai M8.3 bilion pada suku kedua 2019. Paras harga hartanah bangunan tinggi di kawasan bandar untuk pemilikan asing akan diturunkan daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada 2020.

Teo berkata dasar baharu mengenai pemilikan rumah bagi pembeli asing itu dijangka akan diumumkan hujung tahun ini.

"Cuma setakat ini kerajaan negeri belum ada keputusan muktamad, kita akan adakan dialog dengan pemaju dan pihak yang berkaitan sebelum putuskan apa-apa.

"Kita mahu turunkan harga siling ini bukan untuk utamakan warga asing tetapi untuk pastikan kita mampu berdaya saing dan tambahan pula maklum balas dari pemaju, persatuan pemaju turut menyatakan mereka harga siling yang tinggi, merugikan mereka.

Dalam perkembangan lain, Teo berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Perbadanan Aset Keretapi bagi memberikan bantuan atau pampasan kepada pemilik kenderaan yang terjejas dalam banjir kilat di stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd di Sungai Gadut baru-baru ini.

-- BERNAMA