Tutup

Kerajaan Negeri Sembilan tubuh jawatankuasa siasat resort haram

Kerajaan Negeri Sembilan tubuh jawatankuasa siasat resort haram
AMINUDDIN: Setakat ini tiada sebarang laporan kemalangan diterima tetapi kita tidak mahu sesuatu yang buruk sudah terjadi baru kita nak ambil tindakan. - Gambar fail
SEREMBAN: Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa bagi membuat siasatan termasuk langkah  pemutihan terhadap sebuah resort yang beroperasi tanpa lesen yang sah, di Pantai, Jalan Jelebu, di sini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata jawatankuasa yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru Teo Kok Seong itu juga bagi melihat apakah tindakan yang boleh diambil kerajaan negeri memandangkan premis itu dibina di atas tanah pertanian milik individu.
"Resort ini dibina di atas tanah persendirian dan terdapat beberapa orang pemilik dari dalam Negeri Sembilan dan luar Negeri Sembilan dan telah beroperasi sejak 10 tahun yang lepas, pembinaannya tidak mendapat kebenaran dan dibina di atas tanah pertanian bagi tujuan komersil... selain itu kedudukannya yang agak bercerun dikhuatiri mendatangkan risiko keselamatan kepada pengunjung termasuk pelancong asing.

"Jadi kita telah hantar Notis Penyalahgunaan Perlanggaran Syarat Nyata Tanah Seksyen 125 Kanun Tanah Negara disamping menunggu konklusi yang diusulkan dari jawatankuasa ini bagi membolehkan pemutihan dibuat keatas resort ini," katanya dalam sidang media mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Tambahnya isu penggunaan tanah pertanian untuk tujuan komersil serta penggunaan air dari sungai ini, mengakibatkan kerajaan negeri kehilangan hasil.

"Selama ini dia bayar cukai pertanian yang lebih rendah tetapi telah mengaut keuntungan yang banyak ditambah lagi penggunaan air yang diambil dari sungai, menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil.

"Pembinaan di kawasan cerun-cerun pula amat berisiko, setakat ini tiada sebarang laporan kemalangan diterima tetapi kita tidak mahu sesuatu yang buruk sudah terjadi baru kita nak ambil tindakan," katanya.

Tambahnya resort itu terdiri daripada puluhan chalet mewah yang disewa pad kadar RM800 hingga lebih RM1,000 satu malam.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata kerajaan negeri akan mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Puasa pada 15 Jun ini di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, di sini, bermula pukul 11 pagi hingga 3 petang.

--BERNAMA