Kerajaan Pulau Pinang komited untuk membela nasib rakyat dengan mewujudkan pelbagai program yang dapat memberi manfaat kepada 1.76 juta penduduknya, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Dalam perutusan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina 2020, beliau berkata penekanan terhadap pembentukan, pemerkasaan dan pembekalan secara berterusan modal insan sentiasa dijadikan keutamaan.

"Kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap perkembangan pendidikan semua jenis aliran di Pulau Pinang. Justeru, berlandaskan prinsip ini, sebanyak RM12 juta diperuntukkan setiap tahun kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Menengah Cina Persendirian, Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Tamil di negeri ini.

"Pada tahun ini juga, kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pembangunan Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)," katanya.

Katanya apa yang lebih bermakna adalah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meluluskan pembinaan SJKC Tun Dr. Lim Chong Eu di Alma, dekat Bukit Mertajam menerusi sepucuk surat kepada kerajaan negeri pada 10 Jan lepas.

Chow berkata melalui Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), ia dilihat berjaya memupuk keyakinan pelabur terhadap sumber tenaga buruh mahir mencukupi di Pulau Pinang.

"Malah, saya percaya bahawa usaha menarik lebih ramai pelabur serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti bagi tahun 2020 akan mengukuhkan lagi kemakmuran ekonomi rakyat serta keharmonian sesama kaum di negeri ini," katanya.

Katanya tahun 2020 turut menyaksikan beberapa projek infrastruktur berskala besar bakal direalisasikan, antaranya projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang; Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (Pakej 2) , projek pembinaan Kereta Api Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas-Komtar dan projek Gurney Wharf.

Selain itu, beliau berkata projek Penang South Islands (PSI) merupakan inisiatif strategik yang menjadi pemangkin terhadap agenda sosial, ekonomi serta keterangkuman ke arah mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam jangka masa pendek dan panjang.

"Kerajaan negeri juga komited untuk terus memacu Pulau Pinang mengikut kesesuaian dan bersedia untuk terus menyelami transformasi digital demi memastikan penduduk dapat menikmati kehidupan yang berkualiti serta mampan.

"Ini termasuk perkhidmatan dompet elektronik (e-dompet) yang menjadi trend masa kini telah memberikan pengalaman baharu, bukan sahaja kepada pengguna dan pengendali hotel serta restoran berskala besar tetapi juga melibatkan penjaja dan peniaga kecil-kecilan," katanya.

-- BERNAMA