Kerajaan Perak tidak mengeluarkan sebarang kelulusan untuk menjalankan projek pembinaan pelantar kapal dan kilang di Segari, Lumut, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya setakat ini pihaknya hanya menerima cadangan berhubung projek pembangunan di kawasan tersebut, namun tiada sebarang keputusan diberikan.

"Ada cadangan dari pihak swasta membangunkan tempat tersebut, tetapi ia sekadar cadangan, pihak kerajaan juga belum diberi taklimat dan setelah diberi taklimat pihak kerajaan akan mendapatkan ulasan daripada jabatan berkaitan," katanya.

Program satu hari anjuran Yayasan Pendidikan Kampar dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu disertai kira-kira 300 pelajar, bertujuan memperkasakan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di kalangan pelajar semua peringkat.

Ahmad Faizal mengulas demikian berhubung dakwaan kemungkinan projek pembinaan pelantar kapal dan kilang gas asli cecair berdekatan Pantai Pendataran Penyu, Segari akan diteruskan semula setelah tertangguh beberapa tahun.

Dakwaan itu turut menyebut dipercayai bakal menjejaskan pendapatan nelayan tempatan dan akan memberikan impak besar kepada penyu di kawasan terbabit.

Dalam pada itu, bercakap mengenai perkembangan pencemaran arsenik di Sungai Rui, Gerik, beliau berkata pemantauan masih giat dijalankan dan beliau menyeru semua pihak termasuk penduduk bekerjasama memastikan kebersihan sungai tersebut.

TONTON: Sungai Rui Hulu Perak mengandungi arsenik penyebab kanser kulit

Dalam perkembangan berlainan, Ahmad Faizal mengumumkan Institut Darul Ridzuan (IDR) telah disita malam tadi setelah dipercayai wujud penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan sejak beberapa tahun lepas.

"Satu laporan polis yang telah dibuat malam semalam berkenan IDR dan lembaga pengarah IDR yang saya pengerusikan oleh saya telah bersidang malam tadi dan kami telah buat beberapa keputusan termasuk menyita pejabat IDR bermula malam tadi.

"Kita akan membuat siasatan dalaman dan menyerahkan kepada pihak berkuasa membuat siasatan berkenaan salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku di IDR sejak beberapa tahun lepas," katanya.

-- BERNAMA