Pemandu teksi menuntut kerajaan membenarkan penubuhan sebuah kesatuan bagi membela nasib mereka seperti pekerja-pekerja sektor lain di negara ini.

Presiden Pertubuhan Kesepakatan Pemandu Teksi, Kereta Sewa, Limo Premier Eksekutif (Perjiwa) Malaysia Zailani Isausuludin berkata, ia sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasakan dan menaik taraf industri teksi.

Jelasnya, penubuhan kesatuan memastikan hak pemandu teksi serta keluarga terutama jika teraniaya dalam kebajikan seharian.

"Kita tahu semua pekerja di Malaysia mempunyai kesatuan mereka sendiri tetapi kami selepas bertahun mohon permohonan tidak ada kebenaran untuk buat kesatuan.

"Kita datang dari Johor, Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan negeri-negeri lain untuk berhimpun dengan satu kesepakatan dan satu suara.

"Dengan satu suara kami diberi peluang untuk membela untung nasib pemandu teksi. Kita hendak tunjukkan kepada kerajaan kami tidak berpecah," katanya semasa sidang media pada Kongres Himpunan Warga Teksi Malaysia di sini hari ini.

Pada majlis sama, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dilantik menjadi Penasihat Perjiwa.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed mengumumkan, bermula 1 Jun 2017, semua pemandu teksi yang bekerja sendiri atau perkhidmatan seumpamanya boleh mendapatkan perlindungan keselamatan sosial menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Jelasnya, pemandu teksi yang layak mendapat perlindungan di bawah skim tersebut adalah mereka yang bertaraf warganegara Malaysia atau pemastautin tetap serta berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan Lembaga Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu kata Zailani, pihaknya juga mahu kerajaan mempertimbangkan wakil pemandu teksi di Parlimen.

Pihaknya turut menolak perkhidmatan Uber dan GrabCar yang didakwa menyebabkan periuk nasi mereka terjejas.

Bagaimanapun Zailani menjelaskan, mereka tidak menolak penggunaan e-hailing.

SPAD dalam kenyataan mereka sebelum ini menjelaskan, mereka sedang mengambil langkah bagi memastikan perkhidmatan teksi persendirian Uber dan GrabCar dapat dikawal selia serta tidak menggugat industri teksi sedia ada.

Sementara itu tegas Zailani, pihaknya menolak pelantikan bekas Pengerusi Felda Global Ventures (FGV) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai pemangku Pengerusi SPAD seperti yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

SPAD dalam kenyataannya sebelum ini mengalu-alukan pelantikan Isa dan melahirkan keyakinan bahawa pengalaman luas bekas pengerusi FGV dalam pelbagai sektor akan memberi manfaat kepada SPAD dalam usaha untuk mengubah landskap pengangkutan awam darat di negara ini.