Tutup

Kerajaan perlu bijak urus hubungan antara kaum

Kerajaan perlu bijak urus hubungan antara kaum
Pengenalan Wawasan Kemakmuran Bersama 2020-2030 adalah langkah bijak kerajaan merungkai jurang ekonomi antara kaum.
YANG Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, dalam bukunya Looking Back mengungkapkan “I am the happiest Prime Minister in the world”. Ungkapan ini terhasil kerana beliau yakin Malaysia adalah sebuah negara yang aman kerana rakyatnya bersatu padu. Realitinya, ungkapan ini tercemar dan meleset lantaran tercetusnya tragedi 13 Mei 1969 hingga membawa perisytiharan darurat. Ekoran itu, kerajaan terpaksa merangka pelbagai dasar dan meminda beberapa perkara Perlembagaan Persekutuan untuk memulih kembali hubungan baik antara kaum dan memelihara ketenteraman awam.

Bahkan, tragedi hitam ini membuatkan kerajaan semakin prihatin dan cakna setiap masalah perpaduan rakyat. Walaupun wujud beberapa insiden ‘usik-mengusik nakal’ antara kaum, ia dapat diselesaikan dengan baik dan terkawal. Setiap kejadian yang berlaku bukan sahaja ditangani dengan berhemah malah berjaya menghalang orang lain yang tidak berdosa daripada terlibat sama. Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sehingga kini, Malaysia boleh dianggap berjaya mengurus multi etniknya dengan baik.
Bangsa Malaysia dalam Wawasan 2020

Kini, rakyat Malaysia telah pun memasuki fasa Wawasan 2020 yang mana antara hasrat kerajaan adalah menyatukan semua etnik di bawah satu payung yang dikenali sebagai “Bangsa Malaysia”. Tujuannya adalah untuk melahirkan warganegara yang mempunyai rasa berkepunyaan sebagai satu bangsa dalam sebuah negara. Ertinya, bangsa Malaysia merupakan konsep yang mewakili semua kaum dan ras yang ada di Malaysia. Asalkan warganegara Malaysia sahaja sama ada orang Melayu, Cina, India, anak negeri di Sabah dan Sarawak serta kaum-kaum lain mereka disatukan sebagai Bangsa Malaysia. Sangat tinggi impian Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad!
Sekalipun ada ‘berita’ melaporkan Wawasan 2020 gagal mencapai matlamat sepenuhnya, ia bukanlah noktah terakhir. Andai perspektif negatif yang diambil samalah seperti menganggap Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai 30% pegangan ekuiti orang Melayu. Namun, jika dilihat dari perspektif positif, kekurangan atau kelemahan adalah pengajaran,dan dalam hal ini pasti terselit kejayaan walaupun kecil sahaja. 

Bertitik tolak daripada gagasan Wawasan 2020, asas kerukunan bernegara ialah permuafakatan dan perpaduan yang membawa kepada “kesatuan hati”, manakala persengketaan pula mengakibatkan anggota masyarakat sentiasa bergelut hingga membawa kepada konflik dan pergaduhan. Melalui perpaduan yang kukuh, pencapaian ekonomi negara dapat dipertingkat agar taraf hidup rakyat semakin maju dan politik menjadi lebih stabil. Sebaliknya, akibat persengketaan rakyat hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan tanpa sebarang kemajuan.

Dalam konteks ini, tiga faktor mendominasi pembentukan bangsa Malaysia, iaitu politik, ekonomi dan sosial. Sepintas lalu, dari aspek politik boleh dilihat dari sudut kesediaan parti-parti politik pelbagai kaum untuk bergabung dan berkongsi kuasa. Tambahan pula, kestabilan politik adalah prasyarat utama bagi merealisasikan agenda kemakmuran ekonomi dan pembangunan sosial. Kerjasama dan pakatan politik hingga terbentuknya Barisan Nasional, Barisan Alternatif, Gabungan Parti Rakyat Sarawak dan Pakatan Rakyat serta Pakatan Harapan adalah tanda kesediaan mempercepatkan proses pembentukan bangsa Malaysia.

Kemajmukan politik

Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan tidak pernah menolak al-ta’addudiyyat al-siyasiyyah (kemajmukan politik) yang menerima perbezaan pendapat, pemikiran dan strategi pengurusan negara (Siddiq Fadzil, 2018). Parti politik boleh pelbagai, tetapi perlu dikawal dalam bingkai kesatuan dan maslahah demi kepentingan negara dan rakyat. Justeru, parti politik yang perjuangannya bertentangan dengan maslahah dan membawa kepada mafsadah (kerosakkan) seperti ateis, komunis, LGBT dan fahaman sempit perkauman perlu dibanteras dan disekat daripada berkembang di Malaysia.

Sebaliknya, pembentukan tahaluf siyasiy atau pakatan politik antara parti-parti yang membawa kebaikan perlu disuburkan dalam konteks demokrasi Malaysia. Demi bangsa Malaysia, parti-parti politik yang bersifat assabiyah kaum semata-mata perlu bersedia berubah kepada perjuangan untuk semua. Andai ada parti yang berkeras juga memperjuangkan bangsa, kaum, bahkan agama sekalipun lakukanlah dalam situasi sihat tanpa sebarang diskriminasi dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, bukannya menempel matlamat menghalalkan cara.

Wawasan Kemakmuran Bersama

Dari aspek ekonomi pula, pengenalan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2020-2030) yang merupakan lanjutan Dasar Ekonomi Baru dan Model Ekonomi Baru adalah langkah bijak kerajaan merungkai jurang ekonomi antara kaum. Dalam konteks bangsa Malaysia, kek ekonomi bukan sahaja perlu diagih secara adil dan saksama malah tidak lagi menggambarkan monopoli ekonomi oleh sesuatu kaum. Paling penting, antara kaum tidak lagi wujud rasa ingin mendabik dada sesuatu bidang ekonomi itu milik mutlak mereka – jauh sekali bersangka buruk atas kejayaan kaum-kaum lain. Justeru, sektor ekonomi era bangsa Malaysia harus memperlihatkan hubungan dan perkongsian ekonomi yang lebih meluas dan tulen, bukannya terbatas kepada segelintir elit Melayu dan Cina sahaja. Perkongsian model sleeping partner dan “Ali Baba” perlu ditukar kepada fahaman “satu bantal, mimpi sama” atau “Tongkat Ali” yang memberi tenaga ‘zahir dan batin’ adalah secara bersama, bukannya di sebelah pihak sahaja!

Sementara dari aspek sosial pula, konsep bangsa Malaysia ini perlu mencakupi pelbagai dasar yang telah dan akan dirancang sebagai pengikat perpaduan antara kaum. Rukun Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan sangat berperanan penting untuk menjamin hasrat ini. Selain itu, bagi membendung bangkitnya pelbagai anasir subversif yang mengancam perpaduan, akta-akta sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) perlu dikuatkuasakan tanpa sebarang kompromi. Jika masih terdapat lompang yang menghalang penguatkuasaan sewajarnya ditambahbaik dengan kadar segera. Apa gunanya menyeru perpaduan sepanjang masa, tetapi rasis dalam kalangan rakyat semakin menebal lantaran pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan undang-undang yang tidak tegas dan kurang berkesan. 

Rakyat matang dan berjiwa ikhlas

Seharusnya 62 tahun menikmati kemerdekaan, rakyat sudah matang dan saling mengenali antara satu sama lain. Kita tidak perlu lagi berpura-pura hadir ke rumah terbuka perayaan atau majlis-majlis yang melibatkan pelbagai kaum sebagai ‘wayang’ sahaja. Hadirlah dengan hati yang ikhlas beserta ruh al-samahah (semangat toleransi) atas dasar sebagai “saudara sewarganegara” demi mencapai matlamat kolektif hidup bersama (co-exist). Selain itu, kemahiran sosial pula menuntut setiap warganegara berfikiran lebih terbuka dan tidak bersifat etnosentrik (bangga dan pandang rendah budaya orang lain) atau bersifat xenosentrik (pandang budaya lain lebih tinggi daripada budaya sendiri)

Rata-rata rakyat Malaysia menyedari bahawa kerapuhan perpaduan boleh mengakibatkan keselamatan negara terancam. Justeru, hal ini menuntut pihak kerajaan bertindak bertegas membendung mereka yang boleh mengancam perpaduan dan keselamatan negara. Tidak wajar dibiarkan mereka terus ‘berkeliaran’ menjadi penghasut dan rakyat menjadi mangsa akibat tindakan jahat dan tidak bertanggungjawab mereka. Perpaduan negara ialah matlamat penting dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial mahu pun politik.

Pengalaman lepas berkaitan isu perkauman perlu dijadikan pengajaran dan sempadan dalam melakar bangsa Malaysia yang sejati. Budaya dialog untuk mencari penyelesaian harus dipupuk agar perasaan saling menghormati, mempercayai dan sentiasa bersangka baik. Menukar tragedi 13 Mei kepada ‘Uninstall Kebencian, Reboot Malaysia Harmoni’ bukan sekadar slogan, tetapi memerlukan dokongan semua pihak yang bersemangat ‘saudara senegara’. Kita mampu melakukannya kerana acuan Malaysia adalah kita yang sedang merangka masa depan negara kita.


* Penulis merupakan seorang pensyarah di UniKL RCMP Ipoh, Perak.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.