Kerajaan perlu menyokong peranan keluarga dalam penjagaan warga emas dan membantu mereka yang duduk berseorangan.

Menurut Pengarah Malaysian Research Institute of Ageing (MyAgeing) UPM Ir. Dr. Siti Anom Ahmad, berkata 6 daripada setiap 10 kematian COVID-19 terdiri daripada warga emas berumur 60 tahun dan ke atas dengan penyakit kronik.

Jika diteliti, kebanyakan warga emas ini dijangkiti melalui ahli keluarga atau penyertaan dalam majlis awam (keraian atau keagamaan).

“Kita perlu faham bahawa majoriti atau lebih daripada dua pertiga (2/3) warga emas duduk di rumah bersama anak-anak atau saudara. Di Malaysia, warga emas yang duduk berseorangan sekitar 4-5 peratus dan duduk dengan pasangan sahaja hampir 15 peratus (HIES2016),” katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI.

Tambah beliau, mengikut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kajian MyAgeing yang lepas, kurang daripada 1 peratus warga emas Malaysia duduk di pusat jagaan atau rumah orang-orang tua.

Namun begitu, golongan inilah yang paling terkesan jika berlaku sebarang jangkitan secara meluas.

Kebarangkalian majoriti penghuni pusat jagaan akan terjangkit adalah amat tinggi jika pengendali kurang peka dan prihatin tentang ancaman wabak COVID-19 ini.

Ini telah berlaku di rumah-rumah kejururawatan di Itali, Kanada, Amerika Syarikat, Sepanyol dan United Kingdom.

“Berbalik kepada persoalan kebajikan warga emas semasa wabak COVID-19 sedang berleluasa. Jika anda sayangi ahli keluarga anda dan mak ayah yang sudah berusia, elaklah daripada membawa pulang jangkitan penyakit ini," katanya.

Tambahnya lagi buat masa ini, kerajaan perlu menyokong peranan keluarga dalam penjagaan warga emas dan membantu mereka yang duduk berseorangan.

Senario yang wajar diterima pakai adalah sama seperti respon banjir dan bencana alam di mana bantuan makanan asas seperti beras, gula, makanan tin dan biskut diedarkan kepada isi rumah termiskin atau B40 yang terkesan.

“Sebagai usaha jangka pendek, sebarang kerjasama pintar antara masyarakat madani dan agensi kerajaan perlu diperhebat dan diselaraskan, terutamanya untuk mengurangkan duplikasi dan pembaziran.

“Kita juga harus ingat bahawa ramai warga emas yang menjaga cucu-cucu di kampung sementara anak dan menantu bekerja di bandar besar atau di luar negara. Ini semua merupakan beban yang ditanggung oleh keluarga yang kurang mendapat perhatian,“ jelas beliau lagi