Kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus memantau dan mengambil tindakan ke atas Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang lambat membuat pembayaran kepada pesawah yang menjual padi kepada kilang di kawasan setempat.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Bernas juga tidak boleh memandang remeh isu melibatkan pesawah termasuk di Jasin yang menghadapi kelewatan menerima pendapatan bulanan untuk saraan hidup.

"Pesawah yang menjual padi di kilang Bernas sejak awal bulan Disember sehingga kini masih belum mendapat pembayaran.

"Alasan kilang padi tersebut diswastakan tidak boleh diterima oleh akal fikiran yang waras. Walaupun kilang padi tersebut telah diswastakan, ianya menjadi tanggungjawab Bernas untuk memantau prestasi kilang-kilang tersebut kerana ia kini menyusahkan rakyat.

"Bernas harus mengambil tindakan ke atas kilang-kilang padi yang lambat membuat pembayaran kepada warga pesawah," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Dalam isu ini, tegasnya, kerajaan PH harus membuat pertimbangan untuk memecahkan 'monopoli' Bernas dalam industri beras di negara ini.

"Pada realitinya, sistem monopoli adalah tidak berapa sihat kerana tiada saingan untuk tingkatkan mutu perkhidmatan terbaik kepada keseluruhan warga pesawah.

"Sudah sampai masanya pihak kerajaan PH mempertimbangkan untuk memecahkan kebuntuan ini demi kesejahteraan pendapatan secara konsisten kepada semua warga pesawah.

"Apa yang memburukkan lagi keadaan ialah para pesawah sedang menghadapi masalah kekurangan punca pendapatan dari hasil padi kerana permasalahan 'padi angin', sistem saliran yang tidak baik dan pelbagai peningkatan kos untuk mengerjakan sawah," tegasnya.

Tambahnya, dia juga sudah membuat lawatan di kawasan-kawasan sawah untuk mengenal pasti punca masalah seterusnya mencari formula positif bagi membantu para pesawah.

Jelasnya, perjumpaan dengan Bernas akan diadakan dalam kadar segera untuk terus memberi tekanan agar masalah itu ditangani secepat mungkin.