Kerajaan perlu tegas dalam usaha memartabat dan melestarikan bahasa Melayu agar ia tidak dipinggir, malah menjadi wadah kepada penyatuan warga.

Pengarah filem tersohor U-Wei HajiSaari berkata tanpa usaha ini bahasa Melayu akan perlahan-lahan mendap dan semakin tidak dipentingkan oleh rakyat negara ini.

"Pada saya, kalau kerajaan tidak menolak atau menegaskan atau meyakinkannya, ia (Bahasa Melayu) akan mendap.

"Bahasa Melayu tidak akan hilang, tetapi ia akan bergerak perlahan," katanya selepas sesi Bicarawara Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM).

U-Wei dalam pada itu memberi contoh negara-negara jiran yang berjaya menyatukan rakyat mereka melalui penggunaan satu bahasa iaitu bahasa ibunda mereka.

Menurutnya, sejarah telah membuktikan bagaimana pemerintah negara-negara jiran dengan tegas mengukuhkan bahasa ibunda mereka sebelum menerima bahasa keilmuan lain.

"Kalau kita ambil contoh negara-negara jiran kita dalam soal usaha mengukuhkan bahasa ibunda mereka, kita boleh ambil contoh dari Indonesia, Burma, Thailand dan Filipina.

"Bagaimana pemerintah mereka tegas dalam bahasa ibunda mereka, dikukuhkan bahasa ibunda dahulu sebelum diangkat bahasa-bahasa keilmuan yang lain," katanya lagi.

Mengukuhkan lagi hujahnya, U-Wei menegaskan bahawa bahasa merupakan salah satu pusaka yang penting bagi setiap bangsa.

"Pada saya, bahasa itu sendiri merupakan harta paling penting kepada manusia dan kerana itu adanya ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa," katanya.

Bagi Ahli JKTBM, Dr Muhaimin Sulam pula menegaskan kerajaan perlu memberi perhatian kepada peranan Bahasa Melayu.

Dr Muhaimin menjelaskan perhatian kepada peranan Bahasa Melayu itu sangat penting untuk kerajaan lakukan kerana bahasa merupakan jiwa bangsa.

"Bangsa yang nak kita bangunkan ialah bangsa Malaysia, tidak lain tidak bukan bangsa Malaysia itu akarnya bahasa Melayu itu sendiri.

"Jadi kerajaan mempunyai masa yang terhad untuk memberikan keyakinan terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu ini," katanya.

Beliau juga menjelaskan JKTBM memberikan kepercayaan kepada kerajaan untuk memainkan peranan dalam usaha memperkasakan Bahasa Melayu.