Kementerian Perumahan, Kesejahteraan dan Tempatan akan mengambil alih Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang bermasalah dari kerajaan tempatan susulan beberapa laporan aktiviti dadah dan fasiliti yang tidak diselenggara dengan baik.

Menteri Tan Sri Noh Omar berkata kerajaan akan membentuk sebuah badan pentadbiran yang melibatkan badan perumahan tempatan untuk memantau transformasi PPR.

Menurutnya, kerajaan akan menghantar surat kepada kerajaan Selangor untuk memaklumkan kepada mereka tentang rancangan transformasi dan memulakan proses pengambilalihan.

Projek PPR pertama terlibat ialah di kawasan Lembah Subang 1, kata Noh.

“Pihak wartawan boleh melihat sendiri keadaan penduduk di kawasan itu (Lembah Subang 1). Saya sendiri telah melawat kawasan itu beberapa kali sebelum ini,” kata Noh.

“Terdapat 3,000 unit di lapan blok di kawasan tersebut dengan purata tiga orang seunit. Kalau diambil kira, ini melibatkan 10,000 orang.

“Apabila PPR Lembah Subang 1 dibina, Selangor masih lagi di bawak tampuk pemerintahan Barisan Nasional. Apabila kita menyerahkan perkara tersebut kepada kerajaan tempatan, ia menyatakan kerajaan tempatan akan mengambil kira penyelenggaraan dan sewa,” tambah Noh.

“Kerajaan tempatan tidak mampu menyelenggara PPR. Terlalu banyak politik daripada mengambil berat hal ehwal rakyat. Oleh kerana itu, InsyaAllah, saya akan menjadikan PPR Lembah Subang 1 sebagai model transformasi,” katanya kepada wartawan di ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini.

Minggu lalu, Astro AWANI melaporkan 80 peratus dari 27 PPR di sekitar Lembah Klang disalah guna sebagai sarang penagih dadah.

Baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, usaha ini adalah inisiatif kerajaan untuk menambah baik taraf kehidupan serta menangani gejala sosial termasuk penagihan dadah di kalangan remaja yang semakin meruncing.