Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukkan sebanyak RM78 juta bagi membina semula dan membaik pulih lebih 30 buah sekolah daif di negeri Sabah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, peruntukkan berkenaan adalah bagi menampung keperluan membiayai sekolah-sekolah tersebut yang dikenal pasti mempunyai masalah dari segi infrastruktur bangunan.

Beliau berkata, ini termasuk keadaan bangunan yang berbahaya dan telah diabaikan lebih 15 tahun oleh kerajaan terdahulu.

"Pihak Kementerian Kewangan telah berjaya mencari sebanyak RM78 juta untuk memperbaiki atau mengganti atau membina semula sekolah-sekolah sedia ada.

"Di mana bangunan tersebut berada dalam keadaan bahaya dan telah diabaikan lebih 15 tahun oleh kerajaan lama," katanya semasa Dialog Bajet 2020 di Kota Kinabalu, pada Selasa.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mengulas lanjut, Guan Eng turut menjelaskan peruntukkan tersebut diberikan kerana penyaluran sebelum ini yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2019 tidak mencukupi untuk menampung perkara itu.

Tambahnya, saluran peruntukkan tersebut akan dikuatkuasakan serta-merta pada tahun ini.

"Pihak kementerian harap dengan RM78 juta ini sekurang-kurangnya lebih 30 buah sekolah dapat ditangani.

"Kita akan jalankan penilaian dan penyemakan rapi, kita harap sekurang-kurangnya mungkin 30 atau 35 buah sekolah dapat diperbaiki," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pengumuman tersebut, Mohd Shafie menyambut baik sumbangan berkenaan dalam meneruskan agenda perkhidmatan terbaik kepada penduduk di Sabah.