Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dicabar supaya lebih berusaha menyalurkan bantuan kepada Bumiputera terutamanya Melayu dalam perniagaan berbanding kaum lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, konsep meritokrasi dalam membantu usahawan-usahawan kecil dan sederhana disifatkan sebagai tidak adil.

“Kenapa kita apologetik mahu menolong orang kita tetapi data menunjukkan jutawan-jutawan itu mempunyai kelebihan (berbanding usahawan Melayu).

“Malah kerajaan hari ini dicabar untuk lebih kuat berusaha membuktikan mereka boleh memberi banyak lagi kepada usahawan muda,” katanya pada Wacana Sinar Harian ke-125 bertajuk ‘Di mana bisnes Melayu dalam era PH’ yang berlangsung pada Jumaat.

Jelasnya, kalau sebelum ini bantuan tidak dapat disalurkan, ia adalah kerana kerajaan mendakwa berdepan dengan masalah kewangan ekoran ketirisan dan rasuah.

“Kalau ikut laporan kita telah membantu Bumiputera berjuta-juta tetapi hasilnya? Sama. Sebab, data menunjukkan majoriti golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan bawah sederhana (M40) adalah orang Melayu.

“Realitinya, kita memang ada masalah struktur dan masalah ini perlu diperhalusi. Jadi saya ingin menambah, data (usahawan) sah (bukan Bumiputera) dan rantaian bekalan juga kita tidak dikuasai.

“Jadi, kalau betul-betul mahu membantu orang Melayu, maka keberanian diperlukan oleh kerajaan hari ini. Hari ini kita boleh pastikan yang mana satu usahawan yang tulen kerana kita ada banyak data,” katanya.