Kerajaan Pakatan Harapan seharusnya menambah aset di bawah agensi miliknya untuk kepentingan generasi akan datang, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau mengambil contoh penjualan kepentingan oleh Khazanah Nasional Berhad sebanyak 16 peratus dalam penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan IHH Healthcare Berhad.

“IHH penyedia penjagaan kesihatan kedua terbesar di dunia yang kita bangunkan sedikit demi sedikit. Banyak hospital antarabangsa dimiliki IHH dan secara tiba-tiba terlepas kawalan kepada pihak Mitsui," kata Najib dalam hantar video yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Najib berkata dasar penjualan aset seperti itu amat merugikan negara dan generasi akan datang.

“Kita sepatutnya tambah aset untuk kepentingan jangka panjang, bukan menjual aset tersebut," katanya.



Beliau turut mengambil contoh kejayaan Yayasan Pahang yang ditubuhkan beliau pada 1983 kini menambah jumlah aset saban tahun sehingga mampu memberi bantuan kepada golongan miskin.

“Yayasan Pahang berjaya mengeluarkan sumbangan RM1.2 bilion selama ini. Bayangkan jika penganti saya (Menteri Besar Pahang selepas Najib) mengambil sikap supaya menjuual aset demi mendapatkan wang jangka pendek, Yayasan akan punah," tegasnya yang pernah menjadi menteri besar Pahang pada 1982 hingga 1986.

Pada akhir November 2018, Khazanah Nasional Berhad mengumumkan pelupusan 16 peratus kepentingan atau 1.40 bilion saham dalam IHH Healthcare Berhad kepada Mitsui & Co Ltd membabitkan pertimbangan tunai RM8.42 bilion atau RM6 sesaham.

Ia menjadikan pegangan Khazanah dalam IHH hanya tinggal 26.05 peratus.