Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan tidak bijak kerana mempolitikkan isu Tabung Haji (TH).

Menerusi catatan status di laman Facebook miliknya, Najib turut mempersoalkan kenyataan yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusuf Rawa.

“Bagaimana dia (Mujahid) selesaikan dan mengapa cepat sangat boleh diselesaikan? Itu perkara lain yang dia harus jawab.

“Saya perhatikan media di bawah kawalan kerajaan pagi ini terus memainkan isu TH dan ada yang memetik bahawa sebanyak 30 peratus daripada pelaburan TH di dalam saham disenarai telah mengalami kejatuhan nilai melebihi 50 peratus.

“TH ialah Tabung Haji dan bukan Tabung Harapan untuk kamu dijadikan bahan politik," katanya.

Dalam pada itu, Najib juga berkata keyakinan terhadap TH tidak perlu ditambah setelah nilai pelaburan TH telah jatuh dengan banyak akibat penurunan berterusan Bursa Malaysia iaitu selepas pelabur-pelabur asing tidak berhenti menarik dana mereka keluar selepas PRU 14.

“Langkah ini telah menghakis kepercayaan pencarum-pencarum terhadap TH sehingga ada kemungkinan berlakunya 'bank run' ataupun pengeluaran deposit secara beramai-ramai.

“Kalau ini berlaku, maka dana dan aliran tunai TH akan terus berkurangan sehingga kestabilan TH mungkin terjejas.

“Langkah kerajaan PH untuk menjadikan TH sebagai bahan politik bukan bijak. Malah, ini satu langkah yang bahaya," katanya.

Najib juga menggesa agar kerajaan PH menyakinkan para pencarum TH dan menghentikan kenyataan serta pengumuman yang negatif mengenai agensi itu.