Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan membentangkan usul mengosongkan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili dua ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada sidang DUN akan datang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tindakan itu selaras Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang iaitu mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang berhenti menjadi ahli parti diwakili semasa pilihan raya perlu mengosongkan kerusinya.

Katanya, tindakan Adun Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Adun Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim yang berpaling tadah menyokong PN jelas bercanggah dengan pendirian PH .

“Justeru itu, kerajaan negeri akan membentangkan usul untuk mengosongkan kerusi ahli-ahli yang terlibat bagi pertimbangan DUN pada sidang yang akan datang,” kata Chow pada sidang media di Wisma DAP Pulau Pinang pada Khamis.

Sabtu lepas, kedua-dua Adun Bersatu itu mengumumkan tidak lagi menyokong pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah PH sebaliknya menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Pakatan Nasional.

“Tindakan kedua-dua Adun Bertam dan Adun Teluk Bahang yang jelas menyokong Kerajaan Perikatan Nasional adalah bercanggah dengan pendirian Bersatu Pulau Pinang serta PH Pulau Pinang.

“Justeru, majlis memutuskan untuk melucutkan kedua-dua Adun tersebut sebagai Ahli Kerajaan PH. Selaras dengan itu, segala hak dan kelayakan mereka sebagai Adun kerajaan negeri adalah dibatalkan dengan serta merta,” tambah beliau.

Bagaimanapun Chow berkata kedua-dua mereka boleh membawa perkara itu ke mahkamah sekiranya tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil kerajaan Pulau Pinang.

Sementara itu, Chow berkata, Majlis Pimpinan PH juga memutuskan Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin turut dilucutkan sebagai Ahli Kerajaan PH dan segala hak dan kelayakannya sebagai Adun kerajaan negeri juga digantung serta merta sehingga keputusan muktamad di buat PKR.

Afif melepaskan jawatan sebagai Exco Pulau Pinang dan menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 3 Mac lepas.

Sehubungan itu, Chow berkata, kerajaan negeri akan melantik 'Adun Angkat' bagi setiap DUN bagi mengurus dan menyelaras program dan urusan kerajaan negeri di ketiga-tiga kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhamad Baktiar Wan Chik akan menjadi Adun Angkat bagi Kawasan Teluk Bahang; Adun Pinang Tunggal, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (DUN Bertam) manakala Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar (DUN Seberang Jaya).

Baru-baru ini, Khaliq Mehtab dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), sebuah agensi di bawah Kerajaan Pusat, manakala Zolkifli dilantik sebagai anggota Lembaga Penasihat Mara Corp Sdn Bhd, satu cabang pelaburan Majlis Amanah Rakyat (MARA).