Kerajaan pusat lulus RM507,000 baiki sekolah rosak akibat ribut - Wan Azizah

Kerajaan pusat lulus RM507,000 baiki sekolah rosak akibat ribut - Wan Azizah
Dr Wan Azizah melihat gambar kerosakan pada bumbung dan dinding Sekolah Kebangsaan Seri Perlis akibat ribut ketika melawat sekolah berkenaan, 22 Sept, 2018. --fotoBERNAMA
KANGAR: Kerajaan pusat meluluskan peruntukan berjumlah RM507,000 bagi membaik pulih 27 buah sekolah rendah dan 21 sekolah menengah di Perlis yang rosak akibat dibadai ribut dalam kejadian pada Isnin, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya kerajaan persekutuan juga menyalurkan wang ihsan RM500 kepada 109 ketua keluarga yang rumah mereka terjejas akibat bencana itu manakala tiga keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan semasa ribut tersebut menerima RM5,000 masing-masing.

"Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada penduduk Perlis yang terjejas disebabkan bencana ribut pada 17 Sept lepas yang merosakkan 160 buah rumah dan mengorbankan empat nyawa.

"Sesungguhnya bencana yang berlaku adalah ujian-Nya supaya kita sentiasa peka dan bersedia menghadapi sebarang bencana alam yang mungkin berlaku pada bila-bila masa," katanya semasa berucap pada majlis penyampaian wang ihsan kepada keluarga dan mangsa bencana itu di Auditorium Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis di sini, pada Sabtu.

Dr Wan Azizah dalam rangka lawatan menemui beberapa mangsa bencana itu serta sekolah yang rosak di Perlis pada Sabtu.
Ribut yang melanda hampir sejam bermula 9.30 malam Isnin lepas merosakkan 160 buah rumah dan 27 buah sekolah rendah serta 21 sekolah menengah selain menyebabkan tiga kemalangan yang mengorbankan empat nyawa termasuk sepasang suami isteri.

BACA: Ribut Perlis: 38 sekolah alami kerosakan 

BACA: Tiga maut, kereta bertembung ketika ribut di Padang Besar


Dalam ucapannya, Dr Wan Azizah berkata agensi-agensi pengurusan bencana perlu memperkemas  sistem amaran awal dan meningkatkan kerjasama dengan media dalam menyampaikan amaran agar kesiapsiagaan menghadapi bencana dapat dipertingkat.

"Bila amaran dapat dikeluarkan lebih awal seperti melalui pembesar suara masjid, balai raya, telefon dan sebagainya, komuniti setempat dapat bertindak lebih pantas menyelamatkan keluarga dan barangan berharga masing-masing," katanya.

Menurutnya kadar penembusan telefon pintar di Malaysia yang mencapai 70 peratus pada suku ketiga 2017 dan penembusan selular mudah alih mencapai 131.8 peratus menjadikan penggunaan telefon pintar dan media sosial platform berkesan untuk mengeluarkan amaran awal bencana yang harus dipertingkatkan lagi.

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dalam ucapannya berkata penilaian yang dibuat mendapati daripada 160 yang dilanda ribut, hanya 109 buah layak diberi bantuan wang ihsan.

BACA: 56 rumah terjejas akibat ribut di Perlis

BACA: Ribut Padang Besar: Anak konstabel terlibat kemalangan kritikal


Selain kerajaan, beliau berkata Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri adalah agensi yang menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana itu.

Azlan menzahirkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan persekutuan dan Dr Wan Azizah yang turun padang untuk menyampaikan sendiri wang ihsan dan melihat kesan bencana, serta agensi dan pihak-pihak yang membantu.

-- BERNAMA