Pelbagai program sedang dirancang dan dilaksanakan kerajaan dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing dalam negara, kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Antaranya termasuk pelaksanaan program Profesional Training and Education for Graduating Entreprenuers (Protege) bagi menggantikan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).

"Kita juga ada dana melalui SME Corporation Malaysia (SME Corp) sebanyak RM4.2 billion untuk tahun ini yang telah diluluskan dalam bajet 2019 untuk diteroka oleh semua usahawan, tidak kira bangsa dan agama.

"Peluang ini terbuka dan terpulanglah kepada semua usahawan untuk merebut insentif ini. Kita tak bagi dalam bentuk wang tetapi pinjaman atau geran pemadanan kepada mereka yang layak," katanya.

Mohd Redzuan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera (KUB) dan Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini pada Sabtu.

Seramai 500 usahawan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang menyertai program SDSI yang diadakan selama dua hari bermula semalam itu.

Katanya, SDSI di Terengganu yang menjadi lokasi kedua jelajah tahun ini berjaya mengutip nilai jualan sebanyak RM3.64 juta dalam tempoh sehari.

Beliau yakin ia mampu melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu RM5 juta apabila program itu berakhir hari ini.

Sementara itu, mengenai dakwaan kurangnya daya saing golongan Bumiputera dalam bidang perniagaan, Mohd Redzuan berkata ia berikutan masih ramai yang memilih bekerja makan gaji.

Jelasnya, sumbangan peniaga Melayu dalam bidang keusahawanan amat rendah berbanding bangsa lain, iaitu pada hanya 10 peratus.

Namun katanya, beliau yakin pendekatan yang diambil kerajaan mampu membawa perubahan kepada kalangan usahawan.