Kerajaan mensasarkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan pulih daripada masalah yang dihadapi kini terutama melibatkan aliran tunai dalam tempoh lima tahun.

Ia selepas kerajaan bersetuju memberi bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion berbentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif-inisiatif.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata inisiatif itu melibatkan penambahbaikan tadbir urus, penstrukturan dan pengukuhan kewangan dan operasi.

“Kegagalan menstrukturkan semula pinjaman Felda akan mendedahkan Felda kepada pembayaran pinjaman dan kadar faedah berjumlah RM2.5 bilion untuk tahun 2019.

“Pada tahun 2018, Felda terpaksa melunaskan RM1.4 bilion bayaran pinjaman dan kadar faedah kepada institusi kewangan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.


Berucap pada pembentangan Usul Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Felda’ di Dewan Rakyat hari ini, Mohamed Azmin berkata Kerajaan bersetuju memberi Jaminan Kerajaan (Government Guarantee) bagi membolehkan Felda menstrukturkan semula pinjaman dengan institusi kewangan.

Malah, katanya Felda akan memperkenalkan model baharu pengurusan tanah peneroka melalui sewaan tanah untuk satu tempoh jangka panjang yang munasabah.

“Model ini akan menyelesaikan isu demografi peneroka dan ketiadaan ekonomi bidangan (economies of scale).

“Pengenalan model baharu ini akan membolehkan tanah peneroka-peneroka digabungkan dan diusahakan secara cekap, berskala besar dengan ekonomi bidangan yang boleh mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti,” katanya lagi.

Dalam usaha melahirkan peneroka baru yang mahir dan inovatif bagi meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pertanian dan ternakan, Felda turut bertekad menggunakan teknologi baharu seperti ‘smart farming’ dan ‘precision agriculture’.

“Usaha ini akan membantu peneroka untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil sawit.

“Sebaliknya, peneroka mampu menjana pendapatan baru yang bernilai tinggi melalui hasil tuaian dalam tempoh yang singkat. Bagi melaksanakan gagasan baru ini, Kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah RM1 bilion untuk tempoh 4 tahun,” ujarnya.

Selain itu, Felda juga akan memperkenalkan skim pengurusan aset canggih (SPAC) yang dilihat membantu meringankan beban hutang peneroka yang kini masih diteliti secara me dalam.

Ia akan memberi bantuan yang lebih fleksibel menggantikan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil.

“Sementara proses ini sedang berjalan, Felda akan meneruskan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil mengikut kadar sedia ada.

“Bagi tahun 2019, Kerajaan telah meluluskan sejumlah RM480 juta untuk tujuan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil,” katanya.

Justeru katanya, langkah pemulihan Felda harus berteraskan usaha-usaha yang lebih gigih dan progresif demi menjamin industri perladangan yang mampan dan melahirkan generasi baru Felda yang mandiri, kreatif dan inovatif yang berupaya mencipta rangkaian nilai ekonomi negara.