Tutup

Kerajaan sasar tanam 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun

Kerajaan sasar tanam 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun
Kerjasama pelbagai pihak seperti syarikat korporat dan swasta turut diperlukan bagi menjayakan usaha tanam semula pokok di hutan. --fotoBERNAMA/Hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk menanam 100 juta pokok untuk tempoh lima tahun akan datang dalam usaha memulihara dan menghijau kembali kawasan hutan yang telah diteroka.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr A Xavier Jayakumar berkata kesemua pokok ditanam itu memerlukan pengawalseliaan rapi dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM48,000 bagi setiap hektar, sepanjang tempoh tiga tahun penjagaan.
"Tanam semula pokok di hutan ini bukan senang kerana untuk jaga ia memerlukan tempoh tiga tahun. Kita kena tanam dan pastikan tingginya tiga hingga ke empat meter sebelum biarkan ia jadi pokok besar.

"Tetapi sebelum itu, kita kena kawal dan kena (letak) baja... peruntukan kerajaan untuk Rancangan Malaysia ke-11 adalah RM150 juta yang mana kita telah tanam beberapa ribu hektar dan separuh daripada peruntukan untuk kawal selia tanaman," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat, pada Rabu.
Jelas Dr Xavier, kerjasama pelbagai pihak seperti syarikat korporat dan swasta turut diperlukan bagi menjayakan usaha murni itu.

BACA: Cadangan tanam pokok bukan bemakna kemerosotan hutan asli - Tengku Zulpuri 

BACA: "Kita akan tanam 80 juta pokok sehingga 2019" 

Sementara itu, menyentuh tentang keluasan tadahan air negara, beliau berkata sehingga 31 Dis tahun lepas, seluas 9,823 hektar kawasan dalam hutan simpanan kekal telah diwartakan sebagai kawasan tadahan air.

"Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) memantau status pewartaan kawasan hutan tadahan air dalam hutan simpanan kekal dan melaporkan status berkenaan dalam Mesyuarat Tanah Negara," katanya.

-- BERNAMA