Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar, mendakwa kerajaan yang mentadbir negara sebelum ini bersifat kleptokrasi, yang bermaksud pemerintahan oleh pencuri.

Beliau turut memberikan tiga ciri-ciri yang ada pada kerajaan kleptokrasi seperti diakui pakar.

"Pertama, ia memberi semua kontraknya kepada kroni-kroni. Kedua, semua jawatan dalam kerajaan diberi kepada kroni, adik-beradik dan semua.

"Ketiga, dia akan keluarkan wang dalam khazanah kita tanpa memikirkan kebaikan rakyat," katanya semasa menjadi tetamu 100 Hari Malaysia Memilih di Astro AWANI.

Tegas beliau, kerajaan sebelum ini jelas memperlihatkan ciri-ciri kleptokasi berdasarkan apa yang dilakukan pimpinannya.

"Jadi, kalau ada ciri-ciri ini, maka sebuah negara itu adalah sebuah negara kleptokrasi. Malangnya, rejim lepas memang tak lari dari sebuah negara kleptokrasi," tambahnya.

Dalam pada itu, Akhbar yakin Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara akan bertambah baik pada tahun depan.

Ia berikutan kedudukan CPI Malaysia ketika ini merosot susulan terdapat 'unsolved cases' termasuk kes 1MDB.

"Kalau kita lihat kepada CPI, kita jatuh daripada tempat ke-55 kepada 62. Penyebabnya adalah kerana unsolved cases yang kita bincang ini.

"Saya pasti tahun depan, jika CPI ini keluar, dan sekiranya kita dapat selesaikan kes 1MDB, SRC International, mungkin termasuk kes lain seperti Felda, FGV, Mara dan Tabung Haji, sudah tentu kita dapat CPI yang bagus," ujarnya.