Kerajaan menyedari sepenuhnya mengenai keperluan untuk bertindak dengan cepat terhadap ancaman COVID-19 di negara ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Ramai yang bertanya kepada saya, adakah kerajaan menjangka untuk menyaksikan pemulihan ekonomi pada tahun ini?

"Jawapannya bergantung kepada secepat mana kita dapat menangani ancaman COVID-19 di negara ini.

"Semua rakyat Malaysia perlu memainkan peranan masing-masing dan bersatu dalam memeranginya.

"Seperti yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri, negara sedang berperang dengan musuh yang tidak dapat dilihat," katanya dalam komentar mengenai Unjuran Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 pada Sabtu.

Beliau berkata ekonomi negara dijangka akan meningkat semula pada 2021 dengan pemulihan dijangka menjelang akhir tahun 2020.

"Bagaimanapun, risiko kekal berikutan situasi COVID-19 tidak pernah berlaku sebelum ini dan kita perlu menjangka apa yang tidak dijangka," katanya.

Bagaimanapun, katanya negara mempunyai kapasiti dan ruang fiskal untuk memenuhi keadaan yang tidak menentu pada masa depan.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) akan memastikan sistem kewangan kekal stabil dengan mudah tunai dan penampan yang kukuh.

"Sistem kewangan hari ini mempunyai penampan modal yang berlebihan sebanyak RM121 bilion, berbanding hanya RM39 bilion semasa krisis kewangan global pada 2008.

"Dari segi pasaran modal, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia akan terus memastikan pasaran kekal terbuka, telus dan teratur," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan langkah sokongan seterusnya untuk perniagaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia untuk membantu mereka mengurangkan kesan daripada pandemik COVID-19.

"Sepanjang minggu ini telah menyaksikan perbincangan antara kerajaan dan ahli komuniti perniagaan, terutamanya melibatkan perniagaan mikro dan PKS.

"Kami telah mengumpul dan menimbang semua maklum balas, dan bidang tertentu telah dikenal pasti untuk ditambah baik dan diperhalusi," katanya.

Beliau berkata Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri minggu lepas akan turut menyumbang kira-kira 2.8 peratus kepada KDNK pada tahun ini.

Beliau berkata PRIHATIN dirangka untuk menangani impak daripada COVID-19 terhadap negara, didorong oleh tiga objektif -- melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan mengukuhkan ekonomi.

-- BERNAMA