Harga pelitup muka akan dijual pada harga lebih rendah iaitu RM1 sekeping di peringkat runcit manakala 95 sen di peringkat pemborong.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata harga baharu itu adalah sebahagian daripada pendekatan untuk membantu rakyat.

Menjawab kepada soalan lisan Ahli Parlimen Stampi, Nanta menjelaskan kerajaan bersedia untuk menurunkan paras harga pelitup muka lebih rendah pada masa akan datang.

"Kita bersedia untuk turunkan lagi kepada paras harga yang lebih rendah pada masa akan datang," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Bagaimanapun tidak dinyatakan bila harga baharu pelitup muka itu akan berkuat kuasa.

Terdahulu, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka mulai 1 Ogos lalu manakala harga siling diturunkan kepada RM1.20 mulai 15 Ogos ini.