Kerajaan negeri Selangor menyifatkan tindakan kerajaan Persekutuan membenarkan kenaikan kadar harga tol di 18 lebuh raya sebagai tidak bertanggungjawab.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan media berkata kerajaan negeri kesal dengan tindakan tersebut yang dilihat hanya akan membebankan rakyat, apatah lagi dalam situasi ekonomi negara yang semakin gawat.

Sehubungan itu, kerajaan negeri telah memanggil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad yang masing-masing memiliki 30 peratus saham dalam syarikat konsesi Lebuhraya KESAS dan 20 peratus dalam syarikat konsesi Lebuhraya SPRINT, untuk memberi penjelasan.

Kenyataan tersebut juga menyebut kenaikan kadar tol di Lebuhraya KESAS dan SPRINT tidak dibincangkan dan diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah KESAS Holdings Berhad dan KESAS Sdn Bhd serta Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd.

Satu mesyuarat Khas Lembaga Pengarah akan diadakan untuk menggunakan kuasa minoriti bagi menolak kadar tol baharu ini.

Kenyataan itu turut mencadangkan bahawa perolehan daripada hasil kutipan cukai GST digunakan untuk membiayai jumlah pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya, sekali gus dilihat mampu mengelak kenaikan kadar tol.